Sunat Berpuasa Pada Hari Ulang Tahun Kelahiran?

Posted on Februari 18, 2012

0


Terdapat pihak tertentu yang berhujah bahawa RasūlulLāh Ṣ.‘A.W berpuasa pada hari ulang tahun kelahiran baginda sendiri. Maka, atas sebab itu (menurut pihak berkenaan) kita juga “digalakkan” berpuasa sebagai mengikuti sunnah RasūlulLāh Ṣ.‘A.W dan akan diberikan pahala oleh الله.

Yang menjadi persoalan di sini ialah apakah di sana terdapat naṣ bagi menyokong hujah tersebut? Sedangkan, dalam melaksanakan ibadat kepada الله ianya hendaklah disertai dengan naṣ yang ṣaḥīḥ, sama ada daripada Al-Qur’ān atau As-Sunnah. Adalah amat mendukacitakan apabila sandaran naṣ tidak ada, yang ada hanyalah ungkapan “ustaz/ustazah/dr. itu yang cakap”!

Dalam hubungan ini, naṣ yang ṣaḥīḥ menunjukkan bahawa sunat bagi umat Islam berpuasa pada hari Isnin di mana hari tersebut ada kaitan dengan kelahiran RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, penurunan wahyu dan pembentangan amalan-amalan, seperti ḥadīth-ḥadīth berikut:

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الِاثْنَيْنِ فَقَالَ فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Daripada ’Abī Qatādah Al-’Anṣārīy r.‘a bahawa RasūlulLāh Ṣ.‘A.W telah ditanya tentang puasa (pada) hari Isnin. Baginda bersabda (mafhūmnya): “Padanya (hari Isnin) aku diputerakan, dan padanya diturunkan (wahyu) ke atasku.” – Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-us-Ṣiyām, nombor 1162; Musnad ’Aḥmad, Bāqī Musnad-il-’Anṣār, nombor 22044

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُعْرَضُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Daripada ’Abī Hurayrah r.a‘ bahawa RasūlulLāh Ṣ.‘A.W telah bersabda (mafhūmnya): “Dibentangkan amalan-amalan (pada) hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka bahawa dibentangkan amalanku sedangkan aku berpuasa.” – Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb-us-Ṣawm ‘An RasūlilLāh Ṣ.‘A.W, nombor 747. Imām At-Tirmidhīy mengatakan ḥadīth ini ḥasan gharīb.

Ringkasnya, berdasarkan naṣ-naṣ di atas, jelaslah bahawa berpuasa pada hari Isnin adalah sunnah RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, dan bukannya sunnah disebabkan ulang tahun kelahiran seseorang. Misalnya, jika ulang tahun kelahiran seseorang itu jatuh pada hari Selasa, apakah ianya menjadi sunnah? Maka itu, bukanlah sunnah jika seseorang itu berpuasa selain dari hari yang dinyatakan di dalam ḥadīth di atas atau hari-hari yang terdapat di dalam ḥadīth lain atau berpuasa sempena hari ulang tahun kelahirannya sendiri.

والله أعلم بالصواب

Tagged: , ,
Posted in: Isu semasa