Wahai Anak Kesayanganku! (Bahagian 4– Aspek-aspek tarbiyyah di dalam wasiat-wasiat Luqmān)

Posted on April 10, 2012

0


III. Mengimani kekuasaan الله

Firman AlLāh Ta‘ālā :


(Maksudnya): “Wahai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara seberat biji sawi, maka adalah ia di dalam batu besar atau di langit-langit atau di bumi , AlLāh akan membawakannya, sesungguhnya AlLāh Maha Lembut Maha Halus.” (31:16)

Di dalam ayat tersebut , Luqmān memberitahu anaknya tentang keluasan kekuasaan AlLāh Ta‘ālā , seolah-olah dia bermaksud sesungguhnya pancaindera tidak dapat merasai berat biji sawi kerana ia tidak boleh disukat dengan timbangan. Maksudnya, sekalipun AlLāh Ta‘ālā memberikan rezeki kepada seseorang insan (dengan kadar) seberat biji sawi, ia (sangatlah bererti) sehinggakan membawanya kepada (mengenali) siapa yang memberikan rezeki itu. Ia juga bermaksud bahawa seseorang itu tidaklah terlalu sibuk mencari rezeki sehingga dia mengabaikan kewajipan (yang difarḍukan AlLāh) kepadanya dan (lalai) dari menuruti jalan orang-orang yang kembali kepada-Nya.

Dan, ayat tersebut membawa insan kepada (mengakui) kekuasaan AlLāh Yang Maha Luas dan pengetahuan AlLāh itu meliputi setiap sesuatu dan Dia Maha Halus hitungan-Nya. Maha Suci AlLāh Ta‘ālā tiada sekutu bagi-Nya. Di sana terdapat āyāt-āyāt daripada KitābulLāh ‘Azza Wa Jalla yang menunjukkan keluasan pengetahuan AlLāh dan kekuasaan-Nya Yang Maha Agung seperti firman-Nya:

(Maksudnya) : “Dan di sisi-Nya kunci segala yang ghaib, tiada sesiapa mengetahuinya kecuali Dia; dan Dia mengetahui apa-apa (yang ada) di daratan dan lautan; dan tidak gugur daripada sehelai daun (pun) melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak (gugur) sebutir bijian di dalam kegelapan bumi dan tidak (gugur) yang basah dan yang kering, kecuali (ada tertulis) di dalam kitāb (Lūḥ Maḥfūẓ) yang terang.” – Al-’An‘ām: 59

Firman AlLāh Ta‘ālā :


(Maksudnya) : “Dan tiada mengandung seseorang perempuan (atau seekor betina), dan tidak pula melahirkan (anak yang dikandungnya) kecuali dengan pengetahuan-Nya; Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang dan tidak dikurangkan daripada umurnya, melainkan (ada tertulis) di dalam kitāb (Lūḥ Maḥfūẓ); Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja bagi AlLāh.” – Fāṭir : 11

Keluasan pengetahuan AlLāh tiada batasan

Luqmān mengajar anak lelakinya tentang kekuasaan AlLāh Ta‘ālā dan menyedarkannya mengenai keluasan pengetahuan AlLāh ‘Azza Wa Jalla ketika anak lelakinya itu bertanya: “Wahai bapa! Jika saya melakukan kesalahan yang tidak dilihat oleh sesiapa pun, maka bagaimanakah AlLāh mengetahuinya?” Lalu, Luqmān menjawab : “Wahai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara seberat biji sawi, maka adalah ia di dalam batu besar atau di langit-langit atau di bumi , AlLāh akan membawakannya, sesungguhnya AlLāh Maha Lembut Maha Halus.” (31:16). Maka, perkara ini (peringatan Luqmān) telah memberikan kesan (mendalam) kepada anaknya sehinggalah beliau (Luqmān) meninggal dunia.


Dan, di dalam firman AlLāh Ta‘ālā (حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَل) adalah petunjuk kepada kehalusan hitungan dan keadilan neraca (AlLāh) seperti yang digambarkan (dengan ungkapan) “sesuatu perkara seberat biji sawi”, iaitu (kadar) yang terlalu kecil tidak dapat ditimbang dan tidak dapat diberikan nilai; (فَتَكُنْ فِي صَخْرَة) iaitu ketulan keras yang besar tidak mempunyai belakang dan tidak bersambung (bongkah besar yang terasing daripada bongkahan yang lain – pent.); (أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ…) pada demikian itu alam yang amat besar keluasannya lagi jauh yang muncul padanya bintang yang (juga) mempunyai potongan yang besar (kelihatan seperti) titik-titik yang berenang di kejauhan; (أَو ْفِي الأَرْض) iaitu (biji yang) sangat kecil untuk dilihat dan dihitungnya dan ia tidak jelas (kelihatan); (يَأْتِ بِهَا اللَّهُ) maka pengetahuan-Nya meliputi (kesemua itu) , dan kekuasaan-Nya tiada dapat ditandingi.

Semua amalan akan dihitung-Nya

Yang dimaksudkan daripada demikian itu (ialah) amalan-amalan, maksiat-maksiat, dan ketaatan-ketaatan yang mana sama ada ia (amalan-amalan) baik atau sebaliknya hanya dengan kadar timbangan seberat biji sawi , AlLāh akan membawakannya meskipun kadar timbangan itu terlalu kecil untuk dihitung nilai. Maka itu, maksud tersirat (firman AlLāh) ialah terhasilnya nasihat kepada (manusia) mengenai harapan (dalam melakukan kebaikan) dan ketakutan (dalam melakukan kejahatan) – kerana semuanya itu akan dihitung oleh AlLāh sehalus-halusnya – pent.

Dan, seseorang insan apabila mengetahui perihal itu (kekuasaan AlLāh dan hitungan-Nya yang amat halus) , dia akan memperakukan kekuasaan AlLāh ‘Azza Wa Jalla (dengan keimanan yang yakin –pent.), lalu dia (memperoleh) pengawasan AlLāh secara berterusan dalam setiap urusannya, (urusan-urusan) yang kecil dan besar, yang terang-terangan dan sembunyi.

Kesan pengawasan AlLāh

Sebab itu, pengawasan AlLāh memberikan kesan yang efektif. Maka ,dia tidak melakukan sesuatu tanpa keikhlasan, tidak melakukan sesuatu yang mempunyai tujuan yang jahat, tidak melakukan (sesuatu) secara tidak bertanggungjawab dan tidak meremeh-remehkan balasan-balasan (AlLāh), tidak melakukan sesuatu kerana selain AlLāh, lalu AlLāh Ta‘ālā akan menghitung pekerjaan (atau amalan)nya berdasarkan niat dan juga (tahap) keikhlasannya.

Daripada ‘Umar Al-Khaṭṭāb r.‘a, beliau berkata: “Aku telah mendengar RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya) : “Sesungguhnya perbuatan-perbuatan itu (disertai) dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa-apa (yang) dia niatkan [1].” Ini semua (perbuatan-perbuatan) tidak akan diterima oleh AlLāh jika dilakukan untuk selain-Nya.

Daripada ’Abīy ’Umāmah Al-Bāhilīy r.‘a , beliau berkata : “Seorang lelaki telah datang menemui RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, lalu dia berkata : “Apakah pendapatmu (perihal) seorang lelaki (pergi) berperang untuk mendapatkan pahala dan (juga supaya namanya menjadi) sebutan?” Maka, RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya) : “Tiada apa-apa baginya.” Dia (lelaki) mengulanginya (soalan) sebanyak tiga kali. Lalu RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda lagi (mafhūmnya): “Tiada apa-apa baginya.” Kemudian baginda bersabda : “Sesungguhnya AlLāh tidak akan menerima daripada seseorang hamba kecuali apa-apa (amalan) yang ikhlas dan melakukannya semata-mata kerana-Nya [2].”

Sentiasa berfikir dan berasakan AlLāh mengawasinya

Dan, demikian itulah seseorang yang merasakan pengawasan-Nya, maka dia (selalu) berfikir bahawa AlLāh mengawasinya dalam setiap pergerakan pancainderanya (zahir dan batin). Maka, AlLāh Maha Mengetahui (sesuatu) rahsia dan tiada yang tersembunyi daripada rahsia yang tersorok di dalam perut jiwa, tidaklah ia kelihatan (bagi) seseorang pun kerana ia terperosok di kedalaman.

Pengawasan AlLāh ini bagaimanapun tidaklah dapat dirasai oleh pancaindera yang tidak “bersih”. Seseorang yang mendapat pengawasan AlLāh akan “membersihkan” perasaan-perasaannya , dia tidak berhasad dengki dan iri hati, tidak bencikan orang yang melakukan kebaikan, dia tidak dapat dipengaruhi oleh nafsu serakah dan kekotoran duniawīy. Dan apabila wujudnya perasaan-perasaan yang baik di dalam diri yang dikurniakan AlLāh kepadanya, nescaya (ia akan memberikan kesan kepada) diri, masyarakat dan semua urusan akan berada di landasan yang betul, dan masyarakat akan hidup dalam persekitaran yang bersih daripada (perlakuan) jenayah, dosa dan kedengkian kerana perkara sedemikian tidak lagi memberikan pengaruh disebabkan AlLāh mengawal kesemuanya.

Tanggungjawab ibu bapa

Berdasarkan apa-apa yang telah disebut terdahulu, adalah wajar bagi ibu bapa dan mereka yang terlibat di dalam bidang pendidikan dan pemelajaran bahawa mereka menanamkan (rasa) pengawasan AlLāh ke dalam hati anak-anak dan pelajar-pelajar dalam setiap amalan dan hal ehwal (urusan) mereka, supaya jadilah pengawasan AlLāh ini sebagai jalan yang dibiasakan dalam semua perkara kehidupan mereka. Bagi mencapai maksud ini, anak-anak hendaklah dilatih mengenai pengawasan AlLāh , iaitu apabila dia melakukan sesuatu , dia diberitahu supaya melakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana AlLāh pada setiap perkataannya, perbuatannya, dan semua urusannya , dan jadilah dia seperti orang yang disebut di dalam Al-Qur’ān sebagaimana firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud): “Dan, tidaklah mereka diperintahkan kecuali supaya mereka menyembah AlLāh mengikhlaskan kepada-Nya (akan) ad-dīn, tetap teguh di atas iman.” – Al-Bayyinah : 5

Melatih anak-anak mengenai pengawasan AlLāh

Demikian itulah latihan yang diberikan oleh ibu bapa tentang pengawasan AlLāh sehinggakan dia (anak) berfikir (mengenainya) dan memberitahu fikiran (secara sedar) bahawa dia diawasi oleh Penciptanya Yang Maha Agung di mana dengan itu (memikirkan pengawasan AlLāh) ia akan memberikan manfaat kepada dirinya, masyarakat dan manusia keseluruhannya.

Begitu juga, latihannya tentang pengawasan AlLāh sehinggakan dia merasainya (pengawasan AlLāh). Lalu, dia akan memberitahu seluruh pancainderanya yang bersih sekali gus ia akan mendidik setiap perasaan yang suci (untuk merasai pengawasan AlLāh – pent.). Bentuk tingkah laku ini adalah hasil daripada pendidikan dan pengawasan AlLāh seperti yang ditunjukkan oleh pendidik pertama, iaitu RasūlulLāh Ṣ.‘A.W ketika baginda memberikan jawapan kepada yang bertanyakan baginda mengenai ihsan (mafhūmnya): “Bahawa kamu menyembah AlLāh seolah-olah kamu melihat-Nya, maka jika kamu tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu [3].”

Dan, kesan yang nyata daripada latihan dan pendidikan seperti ini sebenarnya dapat dilihat daripada karektor atau sahsiah keperibadian para salafuṣṣāliḥ dalam pendekatan latihan dan didikan mereka terhadap anak-anak.

Namun begitu, apabila para ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan menggunakan pendekatan dan kaedah ini, mereka hendaklah sedaya upaya berusaha dengan izin AlLāh Ta‘ālā dalam tempoh awal usia anak-anak yang mudah dibentuk , supaya mereka boleh menjadikan anak-anak berada di dalam acuan generasi Muslim yang beriman dengan AlLāh, berasa mulia dengan agamanya dan berbangga dengan sejarah dan kegemilangannya. Maka itu, langkah-langkah tersebut akan membolehkan mereka membentuk masyarakat yang bersih daripada atheism, pengaruh-pengaruh luaran yang buruk, sifat dengki, dan bersih daripada (perlakuan) jenayah.

…bersambung

Nota:

[1] Imām Bukhārīy r.ḥ (meninggal 256H), Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy, Kitāb Bad’i-il-Waḥy, nombor 1
[2] Imām An-Nasā’īy r.ḥ (meninggal 303H), Sunan An-Nasā’īy, Kitāb-ul-Jihād, nombor 3140
[3] Imām Muslim r.ḥ, (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul-’Īmān, nombor 8

Advertisements
Posted in: 'Ibrah