Wahai Anak Kesayanganku! (Bahagian 5 – Aspek-aspek tarbiyyah di dalam wasiat-wasiat Luqmān)

Posted on April 21, 2012

0


IV. Menuju kepada AlLāh Ta‘ālā dengan ṣalāt, menuju kepada manusia dengan dakwah kepada-Nya, dan bersabar pada jalan dakwah dan halangan-halangannya

1. Seruan mendirikan ṣalāt
Luqmān berkata kepada anaknya seperti yang telah difirmankan oleh AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Wahai anakku, dirikanlah olehmu akan ṣalāt.” –Luqmān: 17

AlLāh Ta‘ālā telah memfardukan pelbagai ibadat ke atas hamba-hamba-Nya yang mana ia mempunyai kesan dalam pembentukan perangai insan dan pembaikan hati-hati, dan antara ibadat-ibadat tersebut ialah ṣalāt. Ṣalāt ialah rukun yang kedua daripada rukun-rukun Islam dan tiangnya yang tidaklah ia (Islam) tertegak kecuali dengannya. Perkara ini adalah jelas seperti yang disabdakan oleh Nabīy Ṣ.‘A.W (mafhūmnya) : “Pangkal perkara ialah Islam, tiangnya ialah ṣalāt, dan kemuncak tertingginya ialah jihad di jalan AlLāh [1].”

Ṣalāt ialah ibadat pertama yang diwajibkan oleh AlLāh Ta‘ālā berbanding ibadat-ibadat yang lain. Ia telah difardukan ke atas Nabīy Ṣ.‘A.W pada malam baginda melakukan perjalanan dari Makkah ke Masjid-il-Aqṣā, kemudiannya baginda naik ke langit (dalam peristiwa isrā’ dan mi‘rāj). Anas r.‘a berkata : “Telah difardukan ṣalāt ke atas Nabīy sebanyak lima puluh (kali) pada malam baginda melakukan isrā’, kemudian ia dikurangkan sehingga jadilah ia lima (kali). Lalu, baginda diseru: “Wahai Muḥammad! Sesungguhnya tidak boleh diubah lagi perkataan(-Ku) itu di sisi-Ku, dan bagi engkau dengan lima (kali) lima puluh (kali) [2].”– pahalanya seperti ṣalāt lima puluh kali – pent.

Ṣalāt perkara yang pertama sekali dihisab

Dan, ia (ṣalāt) adalah perkara yang pertama sekali dihisab ke atas seseorang hamba di Hari Kiamat, dan ia telah thābit daripada RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bahawasanya baginda telah bersabda: “Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab seseorang hamba dengannya pada Hari Kiamat daripada amalannya (ialah) ṣalātnya, maka jika ia elok, sesungguhnya dia telah beruntung dan berjaya, dan jika ia rosak , maka dia telah gagal dan rugi [3].”

Sesungguhnya Islam amat menitikberatkan penjagaan ṣalāt sama ada ketika hadir (tidak bermusafir) , bermusafir, aman dan takut. Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud): “Peliharalah kamu (dengan sempurna) atas ṣalāt-ṣalāt (fardu) dan (terutamanya) ṣalāt-ul-wusṭā (ṣalāt ‘Aṣr), dan dirikanlah oleh kamu kerana AlLāh dengan taat (dan khushū‘); Maka jika kamu takut (daripada musuh, maka ṣalātlah) berjalan atau (atas) tunggangan, maka apabila kamu telah aman, maka hendaklah kamu mengingati AlLāh (di dalam ṣalāt) sepertimana Dia telah mengajar kamu apa-apa yang kamu tidak tahu (sebelum ini).” – Al-Baqarah: 238-239

Hikmah ibadat ṣalāt

Yang boleh diambil faedah daripada ibadat-ibadat yang telah difardukannya oleh AlLāh Ta‘ālā – ke atas manusia – umumnya, dan ṣalāt khususnya ialah bahawa ia (ṣalāt) meninggalkan kesannya dari segi pendidikan dalam menonjolkan jiwa-jiwa (manusia), (memberikan) ketenangan hati-hati, pembaikan (diri) individu dan masyarakat, dan kesan-kesan pendidikan ini seperti berikut:

1.1 Mendirikan ṣalāt itu adalah tanda atas kebenaran iman, ketaqwaan kepada AlLāh, kenikmatan seseorang melakukan kebajikan, keteguhannya di atas kebenaran dan keikhlasan kepada AlLāh. AlLāh Ta‘ālā telah berfirman (yang bermaksud): “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman; (iaitu) orang-orang yang di dalam ṣalāt mereka, mereka khushū‘.” – Al-Mu’minūn: 1-2 [4]

1.2 Ṣalāt adalah jalan atau cara yang selari dengan pendidikan individu dan kemasyarakatan yang menghubungkan kedua-duanya dengan ketinggian akhlak. AlLāh Ta‘ālā telah berfirman (yang bermaksud): “Bacalah olehmu apa-apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Kitāb (Al-Qur’ān) dan dirikanlah olehmu akan ṣalāt (dengan tekun); sesungguhnya ṣalāt itu mencegah daripada kekejian dan kemungkaran.” – Al-‘Ankabūt:45

1.3 Ṣalāt akan memberikan kekuatan rohani kepada seseorang mu’min yang membantunya berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan kepayahan kehidupan di dunia. Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan kesabaran dan ṣalāt; Sesungguhnya AlLāh bersama-sama orang-orang yang sabar.” – Al-Baqarah:153

1.4 Ṣalāt adalah makanan rohani bagi seseorang mu’min yang akan menolongnya mengusir nestapa dan keresahan ketika dia di dalam kesulitan, (mengusir) sifat kikir dalam kesenangan, dan mengatasi aspek-aspek kelemahan kemanusiaan(nya). Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Sesungguhnya insan itu dijadikan resah gelisah; Apabila dia ditimpa kesusahan, (dia berasa) duka; Dan apabila dia beroleh kesenangan, (dia jadi) kikir; Kecuali orang-orang yang berṣalāt.” – Al-Ma‘ārij: 19-22

1.5 Sesungguhnya ṣalāt adalah sebab terhapusnya kesalahan-kesalahan dan pengampunan dosa-dosa. Dalam hubungan ini, RasūlulLāh Ṣ.‘A.W telah bersabda: “Apakah pendapat kamu sekiranya ada sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang daripada kamu, (di mana) kamu mandi di dalamnya setiap hari lima kali, apakah kamu akan katakan masih terlekat kekotoran (di badannya)?” Jawab mereka (para ṣaḥābat): “Tidak tinggal daripada kekotorannya sesuatu (pun).” Sabda baginda: “Maka demikianlah perumpamaan ṣalāt-ṣalāt (fardu) lima (kali setiap hari), AlLāh menghapuskan dengannya kesalahan-kesalahan [5].”

1.6 Sesungguhnya pada ṣalāt itu makanan bagi roh yang berhajatkan kepada ilmu dan adab. Maka, ṣalāt-ṣalāt (fardu) lima (kali setiap hari) ialah keperluan-keperluan makanan harian bagi roh sepertimana keperluan-keperluan harian bagi perut di mana seorang yang berṣalāt bermunajat di hadapan Tuannya, maka hampir-hampir nipis rohnya dan melayang jiwanya, tiba-tiba dia mendengar perintah Kalām AlLāh (yang bermaksud) : “Aku telah membahagikan ṣalāt antara-Ku dan hamba-Ku dua bahagian, sebahagiannya bagi-Ku dan sebahagiannya bagi hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku (ialah) apa-apa yang dia minta. Apabila seseorang hamba itu mengucapkan (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ) , AlLāh berfirman : “Hamba-Ku telah memuji-Ku”, maka apabila dia mengucapkan (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) , AlLāh berfirman : “Hamba-Ku telah memuji-Ku”, maka apabila dia mengucapkan (مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ), AlLāh berfirman : “Hamba-Ku telah mengagungkanku”, maka apabila dia mengucapkan (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ) , AlLāh berfirman : “Inilah ayat antara-Ku dan hamba-Ku dua bahagian, dan bagi hamba-Ku (ialah) apa-apa yang dia minta, maka apabila dia mengucapkan (اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ), AlLāh berfirman : “Semuanya bagi hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku (ialah) apa-apa yang dia minta [6].”

1.7 Di dalam ṣalāt wujudnya latihan bagi seseorang Muslim tentang peraturan dan membiasakannya dengan ketaatan , dan ianya jelas kelihatan di dalam ṣalāt jama‘ah ketika para muslimin berada di dalam saf-saf yang lurus lagi rapat, tidak bengkok dan tidak jarak, bahu ke bahu, tumit ke tumit, apabila imam bertakbir, mereka bertakbir, dan apabila imam membaca (ayat al-Qur’ān), mereka diam, dan apabila dia rukuk mereka rukuk, dan apabila dia sujud mereka sujud, dan apabila dia memberikan salam, maka mereka memberikan salam.

Daripada ’Abū Hurayrah r.‘a , daripada Nabīy Ṣ.‘A.W baginda telah bersabda (mafhūmnya) : “Adapun perkara pertama yang patut kamu takuti (ialah) apabila seseorang mengangkat kepalanya sebelum imam , bahawa AlLāh menjadikan kepalanya, kepala kaldai atau AlLāh menjadikan rupanya , rupa kaldai [7] – Ini adalah metafora tentang amaran keras AlLāh bagi makmum yang mendahului perbuatan imam di dalam ṣalāt– pent.”

1.8 Ṣalāt jama‘ah membantu keakraban hubungan persaudaraan, menguatkan ikatan kasih sayang, dan penzahiran kekuatan (ummah). Maka, dengan perhimpunan itu ia akan menghilangkan kebencian, mengusir kedengkian, melembutkan hati-hati dan menyatukan (hati-hati atas) kalimah (tauhid). Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Maka, jika mereka bertaubat dan mendirikan ṣalāt dan memberikan zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu pada ad-dīn (Islam).” – At-Tawbah:11

…bersambung

Nota :

[1] Imām At-Tirmidhīy r.ḥ, Sunan At-Tirmidhīy (meninggal 279H), Kitāb-ul-’Īmān, nombor 2616

[2] Imām At-Tirmidhīy r.ḥ, Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb-uṣ-Ṣalāt –Bāb Kam FaraḍalLāh ‘Alā ‘Ibādihi min-aṣ-Ṣalawāt , nombor 213; Imām ’Aḥmad r.ḥ (meninggal 241H), Musnad ’Aḥmad, Bāqīy Musnad-il-Mukthirīn, nombor 12230

[3] Imām At-Tirmidhīy r.ḥ, Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb-uṣ-Ṣalāt, nombor 413; Imām An-Nasāīy r.ḥ (meninggal 303H), Sunan An-Nasāīy, Kitāb-uṣ-Ṣalāt , nombor 465; Imām Abū Dāwūd r.ḥ (meninggal 275H), Sunan Abīy Dāwūd, Kitāb-uṣ-Ṣalāt, nombor 864

[4] Dr. ‘Abd-ul-Fattāḥ ‘Āshūr, Manhaj-ul-Qur’ān Fī Tarbiyyat-il-Mujtama‘, m.s 193, cetakan pertama, Maktabah Al-Khānajīy, Mesir, 1979

[5] Imām Bukhārīy r.ḥ (meninggal 256H), Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy, Kitāb Mawāqīt-iṣ-ṣalāt, nombor 505; Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul-Masājid Wa Mawāḍi‘-iṣ-ṣalāt, nombor 667; Imām At-Tirmidhīy r.ḥ, Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb-ul-Amthāl – Bāb Mathal- uṣ-ṣalawāt-il-Khams, nombor 2868 – menurut beliau, ini ḥadīth ḥasan ṣaḥīḥ

[6] Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-uṣ-Ṣalāt, nombor 395; Imām Abū Dāwūd r.ḥ, Sunan Abīy Dāwūd, Kitāb-uṣ-Ṣalāt, nombor 9999; Imām An-Nasāīy r.ḥ (meninggal 303H), Sunan An-Nasāīy, Kitāb-ul-Iftitāḥ , nombor 909; Imām At-Tirmidhīy r.ḥ, Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb Tafsīr-il-Qur’ān, nombor 2953 – menurut beliau, ini ḥadīth ḥasan; Imām Ibnu Mājah r.ḥ (meninggal 273H), Sunan Ibnu Mājah, Kitāb-ul-’Adab, nombor 3784; Imām ’Aḥmad r.ḥ, Musnad ’Aḥmad, Bāqīy Musnad-il-Mukthirīn, nombor 7249; Imām Mālik r.ḥ (meninggal 179H), Al-Muwaṭṭā’, Kitāb-uṣ-Ṣalāt, nombor 189

[7] Imām Muslim r.ḥ, Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-uṣ-Ṣalāt, nombor 427; Imām At-Tirmidhīy r.ḥ, Sunan At-Tirmidhīy, Abwāb-us-Safar, nombor 582; Imām An-Nasāīy r.ḥ, Sunan An-Nasāīy, Kitāb-ul-’Imāmah, nombor 828; Imām Ibnu Mājah r.ḥ, Sunan Ibnu Mājah, Kitāb ’Iqāmat- iṣ- Ṣalāt Was Sunnati Fīh, nombor 961

Advertisements
Posted in: 'Ibrah