Kisah Aṣḥāb-ul-Ukhdūd, Ahli Sihir, Pendeta, dan Budak Lelaki

Posted on Mei 1, 2012

0


Daripada ‘Abd-ur-Raḥmān bin ’Abīy Laylā daripada Ṣuhayb bahawa RasūlulLāh Ṣ.‘A.W telah bersabda: “Terdapat seorang raja sebelum (zaman) kamu dan beliau memiliki seorang ahli sihir. Apabila dia telah tua, maka dia pun berkata kepada Raja: “Sesungguhnya aku telah tua, bolehkah engkau menghantar kepadaku seorang budak (supaya) aku boleh mengajarkannya ilmu sihir.” Lalu, beliau menghantar seorang budak lelaki kepadanya.


Budak lelaki bertemu pendeta

Dalam perjalanannya (menuju kepada ahli sihir), dia telah bertemu dengan seorang pendeta, lalu dia duduk dan mendengar ucapannya, maka dia berasa kagum (dengan ucapan pendeta). Maka itu, setiap kali dia datang untuk menemui ahli sihir, dia lalu di hadapan pendeta dan duduk (mendengar ucapannya).

Jadi, apabila dia datang kepada ahli sihir, maka dia (ahli sihir) memukulnya (kerana lambat tiba). Maka, dia mengadu demikian itu kepada pendeta. Lalu, dia (pendeta) berkata : “Apabila kamu takutkan ahli sihir, maka katakanlah olehmu (bahawa) keluargamu menahanmu. Apabila kamu takutkan keluargamu, maka katakanlah olehmu (bahawa) ahli sihir menahanmu.”

Munculnya seekor binatang buas yang menghalang laluan manusia

Ketika mana dia berkeadaan begitu, tiba-tiba muncullah seekor binatang buas yang besar menghalang (laluan) manusia. Dia (budak) berkata: “ Hari ini aku akan tahu (adakah) ahli sihir lebih baik atau pendeta lebih baik? Dia mengambil seketul batu seraya berkata : “Ya AlLāh! Jika perkara (yang dilakukan) pendeta lebih Engkau sukai daripada perkara (yang dilakukan) ahli sihir, maka Engkau bunuhlah binatang buas ini sehingga manusia boleh lalu (jalan mereka tanpa gangguan – pen.).” Lalu, dia melontarkannya , dan matilah ia (binatang buas) sehingga manusia (boleh) melalui (jalan tersebut).

Amaran pendeta kepada budak lelaki

Sesudah itu, dia pun datang menemui pendeta dan dia memberitahunya (tentang kejadian tersebut). Maka, pendeta berkata kepadanya : “Wahai anakku! Kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada diriku. Sesungguhnya telah sampailah daripada urusanmu apa-apa yang aku lihat , dan sesungguhnya kamu akan diuji. Apabila (kelak) kamu diuji , janganlah kamu tunjukkan ke atas (diri)ku.”

Karāmah AlLāh kepada budak lelaki

Dan, budak ini boleh menyembuhkan buta dan sopak, serta dia mengubati manusia daripada semua penyakit. Maka, sampailah perihal ini kepada seorang sahabat Raja yang buta. Lalu, dia pun datang menemuinya (budak) dengan membawakan pelbagai hadiah. Dia (sahabat Raja yang buta) pun berkata: “Apa-apa (hadiah) yang aku kumpulkan ini adalah milik kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.” Dia (budak) menjawab : “Sesungguhnya aku tidak menyembuhkan sesiapa pun, dan yang menyembuhkannya ialah AlLāh. Maka, jika kamu beriman dengan AlLāh, aku berdoa kepada AlLāh dan Dia menyembuhkan kamu.” Kemudiannya, dia (sahabat Raja yang buta) telah beriman dengan AlLāh dan AlLāh menyembuhkannya.

Ujian AlLāh kepada sahabat Raja , budak lelaki dan pendeta

Dia datang menemui Raja dan duduk di sisinya seperti mana dia duduk sebelumnya. Raja bertanya kepadanya : “Siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?” Jawabnya : “Tuanku (AlLāh).” Lalu, beliau (Raja) berkata: “Adakah bagimu Tuan selain aku?” Dia membalas : “Tuan aku dan Tuan engkau ialah AlLāh.” Maka, beliau menangkapnya dan terus-menerus menyeksanya sehingga dia (terpaksa) menunjukkan budak itu. Budak itu telah ditangkap (dan dibawa ke hadapan Raja). Raja berkata kepadanya : “Wahai anakku! Telah sampailah (kepadaku) perihal sihir kamu yang boleh menyembuhkan buta dan sopak, dan kamu melakukan ini dan ini.” Dia menjawab: “Sesungguhnya aku tidak menyembuhkan sesiapa pun, dan yang menyembuhkannya ialah AlLāh.” Maka, beliau menangkapnya dan terus-menerus menyeksanya sehingga dia (terpaksa) menunjukkan pendeta.

Kepala sahabat Raja dan pendeta digergaji

Pendeta telah ditangkap dan dikatakan kepadanya : “Kembalilah kamu daripada agamamu!” Tetapi, dia enggan. Beliau (Raja) telah meminta (dibawakan) gergaji. Maka, beliau telah meletakkan gergaji di tengah kepalanya (pendeta) , lalu beliau membelahnya sehingga jatuhlah pecahan-pecahannya (kepala pendeta). Seterusnya, sahabat Raja telah ditangkap dan dikatakan kepadanya : “Kembalilah kamu daripada agamamu!” Tetapi, dia enggan. Maka, beliau telah meletakkan gergaji di tengah kepalanya, lalu beliau membelahnya sehingga jatuhlah pecahan-pecahannya.

Budak lelaki dibawa naik ke atas bukit yang tinggi

Kemudian, budak itu telah ditangkap dan dikatakan kepadanya : “Kembalilah kamu daripada agamamu!” Tetapi, dia enggan. Lalu, beliau (Raja) menyerahkan budak itu kepada para pengawalnya sambil berkata : “Pergilah kamu semua dengannya (bawa dia) ke sebuah bukit demikian dan demikian, maka naiklah bukit itu. Maka, apabila kamu semua sampai ke puncaknya , jika dia kembali dari agamanya (bawa dia pulang dengan selamat – pen.), dan jika tidak, maka kamu campakkannya (ke bawah). Setelah itu, mereka membawanya menaiki bukit, dan dia berkata : “Ya AlLāh! Selamatkanlah aku daripada mereka dengan apa-apa cara yang Engkau kehendaki.” Bergoncanglah bukit itu dan kesemua mereka jatuh (terhumban). Dan, dia (budak itu) datang berjalan menemui Raja. Maka, Raja bertanya kepadanya : “Apakah yang telah berlaku kepada pengawal-pengawal (yang mengawal) kamu?” Dia menjawab : “AlLāh telah menyelamatkanku daripada mereka.”

Budak lelaki dibawa dengan sampan ke tengah lautan

Beliau (Raja) menyerahkan budak itu kepada para pengawalnya sambil berkata : “Pergilah kamu semua dengannya, maka kamu bawanya ke dalam sebuah sampan. Apabila kamu berada bersamanya di tengah-tengah lautan, jika dia kembali daripada agamanya (bawa dia pulang dengan selamat – pen.), dan jika tidak, maka kamu humbankannya (ke dalam laut).” Setelah itu, mereka pun pergi bersamanya. Maka, dia berkata : “Ya AlLāh! Selamatkanlah aku daripada mereka dengan apa-apa cara yang Engkau kehendaki.” Lalu, terbaliklah sampan dan tenggelamlah mereka. Dan, dia (budak itu) datang berjalan menemui Raja. Maka, Raja bertanya kepadanya : “Apakah yang telah berlaku kepada pengawal-pengawal (yang mengawal) kamu?” Dia menjawab : “AlLāh telah menyelamatkanku daripada mereka.”


Bacalah بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلَامِ

Dia kemudiannya berkata kepada Raja : “Sesungguhnya engkau tidak akan dapat membunuhku sehinggalah engkau melakukan apa-apa yang akan aku suruh dengannya.” Beliau bertanya: “Dan, apakah ia?” Dia menjawab: “Engkau kumpulkan manusia di sebuah padang dan engkau ikatkan aku di batang pokok. Kemudian engkau ambil anak panah daripada kantung (anak panah)ku dan letakkan anak panah pada busur, seraya engkau menyebut بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلَامِ , dan engkau lepaskannya. Maka, sesungguhnya apabila engkau berbuat demikian, engkau boleh membunuhku.”

Lalu, beliau telah mengumpulkan manusia di sebuah padang dan mengikatnya di batang pokok, kemudian beliau mengambil anak panah daripada kantungnya (budak) dan meletakkan anak panah pada busur sambil beliau menyebut بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلَامِ dan melepaskannya. Maka kenalah anak panah itu pada pelipisnya. Dia (budak) meletakkan tangannya di pelipisnya di tempat anak panah (mengenai sasarannya), lalu dia pun mati.

Manusia yang hadir beriman dengan AlLāh

Maka, manusia pun berkata : “Kami beriman dengan Tuan budak, kami beriman dengan Tuan budak, kami beriman dengan Tuan budak!” Kemudiannya Raja didatangi (seorang pengawal) dan dikatakan kepadanya : “Tidakkah engkau lihat suatu yang engkau takuti (daripada berlaku)? Sesungguhnya demi AlLāh! Telah terjadilah perkara yang engkau bimbangkan, (iaitu) manusia telah beriman (dengan AlLāh).”

Parit besar digali dan dinyalakan api di dalamnya

Lalu, beliau telah memerintahkan dengan parit-parit besar (supaya digali) di tengah-tengah laluan, maka ia digali dan beliau telah menyalakan api (di dalam parit besar) sambil berkata : “Sesiapa yang tidak kembali daripada agamanya, maka kamu campakkannya ke dalamnya (parit besar) atau dikatakan kepadanya (supaya) dia melompat (ke dalamnya).”

Mereka (manusia) melakukannya (melompat ke dalam parit besar) sehingga datanglah seorang perempuan dan bersamanya ialah anaknya. Lalu , dia berundur sedikit ke belakang supaya tidak jatuh ke dalamnya. Maka, anaknya berkata kepadanya : “Wahai ibu! Bersabarlah, maka sesungguhnya kamu (berada) di atas kebenaran.”

Nota:

Ḥadīth ini diriwayatkan oleh Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-uz-Zuhd War Raqāiq, nombor 3005; Imām ’Aḥmad r.ḥ (meninggal 241H), Musnad ’Aḥmad, Bāqīy Musnad-il-’Anṣār, nombor 23413; Imām An-Nawawīy r.ḥ (meninggal 676H), Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al- Ḥajjāj, m.s 130-133, juz. 18, cetakan pertama,___,1930

Advertisements
Posted in: 'Ibrah