Pengajaran-pengajaran Daripada Ḥadīth Budak Lelaki (Ghulām)

Posted on Mei 2, 2012

0


Terdapat pengajaran-pengajaran yang sangat penting di sebalik ḥadīth panjang yang mengisahkan aṣḥāb-ul-ukhdūd, ahli sihir, pendeta, dan budak lelaki yang mana kadang-kadang ia dikenali juga dengan ḥadīth ghulām. Antara pengajaran-pengajarannya adalah seperti berikut:


1. Ia menunjukkan peringkat-peringkat dakwah secara lengkap, dari mula hingga ke penghujungnya. Peringkat permulaannya adalah lemah sebab yang mengetahui kebenaran hanyalah seorang (pendeta). Peringkat kedua ialah dakwah secara rahsia sepertimana yang telah diminta oleh pendeta kepada budak lelaki agar dia tidak menunjukkan ke atasnya (pendeta) apabila dia diuji. Peringkat ketiga ialah dakwah secara terang-terangan di mana budak lelaki telah lakukan ketika dia mengubati manusia . Peringkat keempat ialah dakwah bil ḥāl ketika budak lelaki telah menunjukkan kepada manusia bahawa hanya AlLāh Tuhan sebenar yang layak disembah (muslihatnya meminta Raja mengumpulkan manusia menyaksikan peristiwa pembunuhannya). Peringkat akhir ialah dakwah iman iaitu kesanggupan mengorbankan nyawa sendiri demi keimanan kepada AlLāh . Sebab itu, budak lelaki sanggup memberitahu “rahsia” kepada Raja untuk membunuhnya, manakala manusia yang hadir pula terjun ke dalam parit besar yang di dalamnya terdapat nyalaan api membakar demi mempertahankan akidah yang haq!;

2. Raja yang zalim menggunakan ahli sihir , ilmu sihirnya dan pelbagai khurafāt untuk menguasai dan menundukkan manusia, termasuklah menjadikan mereka berlindung dengannya, kononnya tiada sesiapa pun akan selamat kecuali mereka yang memohon perlindungan dengannya. Dalam konteks dunia moden kini, penguasa yang zalim menggunakan pelbagai kaedah untuk mengekalkan kuasa mereka sama ada secara keras atau halus;

3. Dalam perihal dakwah, bakat-bakat yang mempunyai potensi hendaklah digilap sejak awal usia kanak-kanak lagi. Maka itu, pendeta yang bijaksana itu telah dapat mengenal pasti kebolehan budak lelaki sehingga dia (budak lelaki) dapat mengenali kebenaran dan kebatilan meskipun dia baharu belajar daripada pendeta dalam tempoh yang singkat;

4. Kesungguhan orang yang mempunyai “ilmu” jahat untuk menyebarkannya secara percuma seperti yang telah ditunjukkan oleh ahli sihir. Maksud tersirat ialah jika seseorang itu memiliki ilmu yang benar, hendaklah dia berkongsi dengan orang lain tanpa menyembunyikannya atau membiarkan ilmunya “diam” di dalam diri, kerana ilmu yang benar adalah anugerah AlLāh kepadanya supaya diamalkan dan disebarkan;

5. Pendakwah kepada jalan AlLāh pasti akan menghadapi ujian-Nya kerana ia adalah sunnatulLāh. Inilah antara maksud perkataan rahib kepada budak lelaki itu apabila dia memberitahunya : “Sesungguhnya telah sampailah daripada urusanmu apa-apa yang aku lihat , dan sesungguhnya kamu akan diuji.”;

6. Berterusan menyampaikan dakwah tanpa jemu dan tanpa rasa takut. Budak lelaki ini telah dua kali diselamatkan oleh AlLāh dan dia tidak pergi ke tempat lain menyelamatkan dirinya. Sebaliknya, dia pergi semula kepada Raja dan berdakwah kepada beliau iaitu memberitahunya bahawa “AlLāh telah menyelamatkanku daripada mereka.”

7. Raja yang kejam itu adalah simbolik kepada penguasa yang memiliki sifat ṭāghūt akan melakukan apa-apa sahaja untuk terus menerus memperoleh keuntungan daripada rakyat bawahan meskipun melalui cara yang tidak benar, tipu helah, muslihat dan sebagainya;

8. Keimanan yang hakiki kepada AlLāh adalah benteng sebenar kepada seseorang mu’min sehinggakan tiada sesiapa pun atau tiada apa-apa pun yang boleh menggugatnya. Inilah yang ditunjukkan oleh budak lelaki apabila dia diancam dan diugut oleh Raja – untuk dihumban daripada bukit dan dicampakkan di tengah-tengah lautan – malah, dia sanggup mengorbankan nyawanya demi mempertahankan keimanannya kepada AlLāh;

9. Setiap Muslim hendaklah memiliki kesanggupan untuk mengorbankan diri bagi AlLāh jika ianya boleh menjadi sebab kepada manusia lain menyatakan keimanan kepada-Nya. Perihal ini telah dilakukan oleh budak lelaki apabila dia telah menyebabkan Raja melafazkan بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلَامِ untuk membunuhnya. Lalu, yakinlah manusia yang menyaksikan peristiwa pembunuhannya sebagai bukti kebenaran AlLāh ialah Tuhan sebenar, kerana tanpa izin-Nya sudah tentulah budak itu tidak akan dapat dibunuh oleh Raja;

10. Karāmah AlLāh kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang terpilih. Lalu, dengan izin-Nya budak lelaki itu dapat membunuh binatang buas meskipun dengan hanya lontaran batu kecil, menyembuhkan buta, sopak dan penyakit-penyakit lain;

11. Doa seseorang mu’min yang dizalimi dan berada di dalam kesulitan dalam memelihara keimanan kepada AlLāh , di mana dia benar-benar pasrah dan bertawakkal kepada-Nya, maka Dia akan memakbulkannya;

12. Sesungguhnya tiada apa-apa yang dapat menggantikan iman meskipun nyawa sendiri dan anak yang masih kecil menjadi taruhan. Begitulah keadaan iman budak lelaki (dibunuh di batang pokok), sahabat Raja dan pendeta (digergaji kepala hingga terbelah dua) , dan ibu bersama anak yang masih kecil (melompat ke dalam parit besar yang berapi);

13. Keengganan manusia untuk keluar daripada keimanan mereka dengan AlLāh adalah kerana mereka telah merasai kemanisan iman sehingga mereka tidak pedulikan lagi akan ancaman dan ugutan untuk dihumbankan ke dalam parit besar yang dipenuhi api di dalamnya;

14. Harus berbohong jika wujud maslaḥaḥ yang dibenarkan shara‘. Misalnya, budak lelaki itu diajar berbohong oleh pendeta atas maslaḥaḥ , iaitu untuk mengelakkannya mempelajari “ilmu” yang salah serta menyebabkan shirik kepada AlLāh;

15. Hanya AlLāh yang boleh memberikan kesan kepada sesuatu, manakala usaha manusia adalah nisbi sifatnya. Maka , apabila budak itu merawat sahabat Raja yang buta, dia berkata : “Sesungguhnya aku tidak menyembuhkan sesiapa pun, dan yang menyembuhkannya ialah AlLāh.” Inilah pegangan yang benar supaya seseorang mu’min terpelihara daripada melakukan shirik kepada AlLāh dalam setiap usahanya di dalam kehidupan seharian; dan

16. Ketakutan kepada AlLāh adalah manifestasi keimanan yang benar serta keteguhan pegangan akidah dengan AlLāh, sedangkan ketakutan kepada selain-Nya adalah manifestasi kelemahan iman serta hilangnya “harga” diri seseorang makhluk AlLāh – hilang “harga” diri kerana takutkan sesama makhluk! Natijahnya ialah seseorang yang takutkan AlLāh sentiasa berusaha mendekati-Nya demi mendapatkan keredaan-Nya di dunia dan ganjaran yang kekal abadi di Ākhirat, manakala seseorang yang takutkan manusia berusaha keras mendekati manusia lain atas tujuan-tujuan keduniaan yang sementara (pengaruh, nama, pangkat, populariti, kedudukan dan sebagainya).

Advertisements
Posted in: 'Ibrah