Tidak Harus Menghimpunkan (Jama‘) Dua Ṣālāt Sebab Hadir Perayaan

Posted on Mei 8, 2012

0


Soalan:

Adakah harus bagi saya menghimpunkan ṣālāt Ẓuhur dan ‘Aṣar semata-mata menghadiri suatu perayaan yang berlangsung dari Ẓuhur ke Maghrib?

*Jawapan:

Fuqahā’ mazhab Ḥanbalīy mengharuskan muslim dan muslimah menghimpunkan ṣālāt Ẓuhur dan ‘Aṣar, atau Maghrib dan ‘Ishā’ pada sesetengah keadaan kerana terdapatnya pelbagai keuzuran (yang dibenarkan shara‘). Dan, ini adalah satu kemudahan yang besar kerana terdapat nas tentang Nabīy Ṣ.‘A.W yang berbuat demikian tanpa (sebab) musafir, takut dan tanpa hujan [1]. Lalu, ditanyakan perkara ini kepada Ibnu ‘Abbās r.‘a: “Apakah tujuan baginda berbuat demikian?” Jawab beliau: “Baginda mahu supaya ia tidak menyusahkan umatnya.”

Maka itu, apabila terdapat kesulitan pada sesetengah keadaan untuk mendirikan ṣālāt fardu pada waktunya , bolehlah dia menjama‘kan ṣālāt dengan syarat dia tidak menjadikannya kebiasaan dan adat (misalnya) setiap dua atau tiga hari, dan bila-bila masa (sahaja) dia mahu keluar ke satu upacara daripada pelbagai upacara yang sama pada suatu masa (tertentu).

Keharusan jama‘ ṣālāt tidaklah mutlak

Sesungguhnya keharusan tersebut dalam keadaan-keadaan yang jarang dan sedikit, bertujuan menghilangkan kesulitan dan kepayahan yang dihadapi oleh seseorang insan. Misalnya, seorang polis trafik (yang mengawal lalu lintas – pent.) jika masanya (bermula) sebelum Maghrib sehingga selepas ‘Ishā’ , maka dia boleh menjama‘kan kedua-dua ṣālāt tersebut (sama ada) jama‘ taqdīm atau ta’khīr mengikut pertimbangan kemampuannya. Begitulah juga bagi seorang doktor yang melakukan operation ke atas pesakit yang dia tidak boleh tinggalkannya. Demikian itu Islam memudahkan umat Islam dan membuang kesulitan bagi mereka.

Menjaga ṣālāt dengan bersungguh-sungguh

Adapun pergi ke suatu majlis perayaan, maka saya tidaklah berpendapat ianya terdapat darurat dan keuzuran untuk jama‘, selagi di sana terdapat peluang untuk berṣālāt. Dan, hendaklah dia tidak berasa malu untuk mendirikan ṣālāt, sama ada dia seorang lelaki atau perempuan, kerana malu seperti ini tidaklah harus dalam perkara yang berkaitan dengan ṣālāt dan dia hendaklah menunaikannya di mana-mana tempat (sekalipun). Bahkan , adalah wajib bagi orang yang mendirikan ṣālāt untuk menjadikan dirinya sebagai ikutan yang baik kepada orang lain sehingga dia boleh menyedarkan orang ramai dengan ṣālāt (meskipun dia berada di dalam suatu majlis perayaan seperti itu – pent.), kerana ia adalah sebahagian daripada syiar AlLāh yang wajib dizahirkan, dan adalah tanggungjawab setiap Muslim untuk menonjolkan dan mengagungkannya. Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Dan, sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar AlLāh , maka sesungguhnya (ia datang) daripada ketakwaan hati.” – Al-Ḥaj:32

Yang menjadi kesalahan dalam kebanyakan perayaan rasmi yang diadakan di negara-negara Islam ialah ianya menyebabkan luput waktu ṣālāt, terutamanya Maghrib tanpa mempedulikan hak AlLāh dan (tanpa mempedulikan) hati orang-orang mu’min yang amat suka menunaikan ṣālāt pada waktunya.

Dan, sekiranya orang-orang yang sentiasa menjaga ṣālāt hadir di dalam perayaan-perayaan seperti ini, mereka (hendaklah) mendirikan ṣālāt apabila masuk waktunya walau dengan apa-apa cara sekalipun. Namun begitu, sesiapa yang mendapati sebarang kesulitan atau kepayahan untuk mendirikan ṣālāt (fardu) pada waktunya , bolehlah dia menjama‘kan ṣālāt seperti yang telah kami sebut terdahulu.

والله الموفق للسداد

Nota:

[1] Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb Ṣālāt-il-Musāfirīn Wa Qaṣrihā – Bāb-ul-Jam‘i Bayn-aṣ- Ṣālātāyn Fil Ḥaḍar, nombor 705; Imām At-Tirmidhīy r.ḥ (meninggal 279H), Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb-uṣ-Ṣālāt, nombor 187; Imām An-Nawawīy r.ḥ (meninggal 676H), Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al- Ḥajjāj, m.s 215, juz. 5, cetakan pertama,___,1929

*Terjemahan bebas daripada laman sesawang Shaykh Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, Fatāwā Mu‘āṣarah – Al-Jam‘u Bayn-aṣ-Ṣālātāyn, juz.1, http://qaradawi.net/library/50/2289-2011-11-17-10-41-12.html

Posted in: Fatwa