Wahai Anak Kesayanganku! (Bahagian 6 – Aspek-aspek tarbiyyah di dalam wasiat-wasiat Luqmān)

Posted on Jun 11, 2012

0


2. Perintah menyuruh dengan ma‘rūf dan mencegah daripada kemungkaran

Menyuruh dengan ma‘rūf dan mencegah daripada kemungkaran adalah terhasil daripada sifat sukakan kemuliaan dan (sukakan) asas kepada kebaikan institusi kemasyarakatan di mana pelaksanaannya akan menyedarkan jiwa-jiwa dan memberikan peringatan tentang keburukan (perkara-perkara) mungkar. Maka itu, apabila manusia saling bekerjasama dalam hal demikian – seperti yang diwajibkan oleh shara‘ – wujudlah kerjasama dalam kebaikan, maka tiadalah pengabaian (tanggungjawab tersebut) padanya, dan wujudlah kerjasama mereka pada mengingkari perkara-perkara keji sehinggakan ia (perkara-perkara keji) tidak wujud di kalangan mereka.

Tidaklah diragukan bahawa AlLāh ‘Azza Wa Jalla telah menjadikan umat Muḥammad sebagai sebaik-baik (umat) dilahirkan untuk manusia, seperti mana Dia menjadikan menyuruh dengan ma‘rūf dan mencegah daripada kemungkaran sebagai syarat sebaik-baik (umat) berserta keimanan dengan AlLāh ‘Azza Wa Jalla. Firman-Nya (yang bermaksud) : “Kamu (adalah) sebaik-baik umat dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh dengan ma‘rūf dan mencegah daripada kemungkaran, serta kamu beriman dengan AlLāh.” – Āli ‘Imrān : 110

Tahap-tahap kemampuan menunjukkan tingkatan iman seseorang

Dan, di dalam sebuah ḥadīth diriwayatkan daripada ’Abīy Sa‘īd-il-Khudrīy r.‘a, beliau telah berkata, “Aku telah mendengar RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya) : “Sesiapa daripada kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, maka jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya, maka jika dia tidak mampu, maka dengan hatinya, dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [1].”

Daripada ‘AbdilLāh bin Mas‘ūd bahawa RasūlulLāh Ṣ.‘A.W telah bersabda (mafhūmnya) : “Tidak ada seorang pun daripada nabīy yang diutuskannya oleh AlLāh kepada umat sebelumku , kecuali baginya daripada (kalangan) umatnya ḥawāriyyūn (pengikut-pengikut setia) dan sahabat-sahabat yang mengikuti sunnahnya dan mematuhi arahannya. Kemudian, muncullah setelah mereka generasi terkemudian , mereka bercakap (sesuatu) yang tidak mereka lakukan, dan mereka melakukan perkara yang tidak diperintahkan. Maka, sesiapa yang berjihad (ke atas) mereka dengan tangannya, maka dia ialah seorang mu’min, dan sesiapa yang berjihad (ke atas) mereka dengan lidahnya, maka dia ialah seorang mu’min, dan sesiapa yang berjihad (ke atas) mereka dengan hatinya, maka dia ialah seorang mu’min, dan tiadalah selain demikian itu daripada iman, walau (seberat) biji sawi [2].”

Jadilah sebagai pengawal “pagar-pagar” ajaran-ajaran ad-dīn

Maka, menyuruh dengan ma‘rūf dan mencegah daripada kemungkaran – yang mana usaha mengubah kemungkaran dengan (memberikan) nasihat melalui kerjasama erat dalam memelihara, mengukuh, dan membaiki masyarakat – merupakan (sebahagian daripada) usaha-usaha akhlak yang utama.

Bahawa menyuruh dengan ma‘rūf dan mencegah daripada kemungkaran, mengingkarinya (kemungkaran), dan berusaha mengubahnya adalah sebahagian daripada kemuliaan akhlak yang disaluti iman, kerana padanya terdapat khidmat kemasyarakatan dan pemeliharaan masyarakat dari terjerumus kepada kerosakan. Sebab itulah, Islam memberikan galakan yang sangat kuat kepada (usaha) menjadikan setiap muslimin dan muslimat sebagai pengawal “pagar-pagar” keutamaan (akhlak) dan ajaran-ajaran ad-dīn yang lurus. Sesiapa yang berjihad (ke atas) orang-orang yang menyeleweng (kerana mereka terus-menerus melakukan kemungkaran – pent.) dengan tangannya, maka dia ialah seorang mu’min, dan sesiapa yang berjihad (ke atas) mereka dengan lidahnya, maka dia ialah seorang mu’min, dan sesiapa yang berjihad (ke atas) mereka dengan hatinya, maka dia ialah seorang mu’min, dan tiadalah selain demikian itu daripada iman, walau (seberat) biji sawi.

Siksaan AlLāh meliputi semua

Tugasan mengawal masyarakat bertujuan memelihara mereka daripada kemerosotan (akhlak) merupakan tugasan kemasyarakatan yang mesti dilakukan secara berterusan pada setiap masa. Sekiranya ini yang berlaku, terpeliharalah masyarakat keseluruhannya daripada seksaan (AlLāh) secara umum. Dan, perihal ini dikuatkan oleh ḥadīth riwayat Imām At-Tirmidhīy r.ḥ daripada Ḥudhayfah bin Al-Yamān, daripada Nabīy Ṣ.‘A.W, baginda bersabda : “Demi diriku yang berada di tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh dengan ma‘rūf dan hendaklah kamu mencegah daripada kemungkaran, atau Dia akan menyegerakan balasan-Nya ke atas kamu, kemudian (ketika itu) kamu berdoa kepada-Nya, maka tidak diperkenankan(-Nya) bagi kamu [3].”

…bersambung

Nota:

[1] Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul-Īmān, nombor 49; Imām An-Nawawīy r.ḥ (meninggal 676H), Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al-Ḥajjāj, m.s 22-26, juz. ke-2, cetakan pertama, Mesir,1929

[2] Imām Muslim r.ḥ, Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul- Īmān, nombor 50; Imām An-Nawawīy r.ḥ, Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al-Ḥajjāj, m.s 27, juz. ke-2, cetakan pertama, Mesir,1929

[3] Imām At-Tirmidhīy r.ḥ (meninggal 279H), Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb-ul-Fitan ‘An RasūlilLāh Ṣ.‘A.W, nombor 2169 – menurut beliau (Imām At-Tirmidhīy r.ḥ), ini ḥadīth ḥasan.

Advertisements
Posted in: 'Ibrah