Puasa Pada 27 Rajab, Isrā’ dan Mi‘rāj

Posted on Jun 16, 2012

0


Soalan:

Adakah terdapat nas mengenai puasa pada 27 Rajab dengan pemberian pahala yang khusus? Apakah hukum puasa pada hari yang diberkati ini? Dan, adakah ṣaḥīḥ bahawa RasūlulLāh Ṣ.‘A.W telah melakukan Isrā’ pada malam 27 Rajab?

*Jawapan:

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Malam Isrā’ dan Mi‘rāj tidaklah diketahui (bila ianya berlaku – pent.), begitu juga tidak diketahui bulannya. Dan, tidaklah ṣaḥīḥ mengatakan ia berlaku pada malam 27 Rajab. Sekalipun malam berkenaan (didakwa) berlakunya Isrā’ dan Mi‘rāj, maka perbuatan mengkhususkan puasa di siang harinya berbanding hari-hari lain adalah termasuk di dalam bid‘ah yang tercela, kerana AlLāh tidak disembah kecuali dengan apa-apa (ibadat) yang telah dishara‘kan. Tidak pernah dishara‘kan oleh AlLāh sebarang pengkhususan puasa pada hari berkenaan. Walau bagaimanapun, jika seseorang berpuasa pada hari-hari tertentu seperti Isnin dan Khamis setiap minggu, dan hari tersebut (27 Rajab) berlaku pada hari Isnin atau Khamis, maka dia tidaklah ditegah berpuasa padanya dengan niat ini (iaitu niat berpuasa Isnin dan Khamis – pent.).

Hakikatnya, puasa pada 27 Rajab dengan menganggapnya sebagai hari berlakunya malam Isrā’ dan Mi‘rāj Nabīy Ṣ.‘A.W adalah termasuk di dalam puasa yang haram. Ianya telah diada-adakan oleh sebahagian manusia dengan menurut hawa nafsu mereka, sedangkan ia tidak pernah dishara‘kan oleh AlLāh dan Rasūl-Nya, juga tidak diamalkan oleh al-khulafā’-ur-rāshidūn, dan para imam (mu‘tabar) tidak mengajak manusia melakukannya.

Kadang-kadang mereka yang mengada-adakan “puasa” pada hari tersebut beranggapan bahawa ia adalah sebahagian daripada hari-hari kebesaran Islam yang telah AlLāh anugerahkan kepada Nabīy-Nya dengan nikmat yang agung ,maka ia mesti diperingati dan disyukuri! Bagi mereka, anugerah AlLāh kepada Nabīy-Nya yang mulia adalah anugerah kepada umatnya juga. Lalu, menjadi satu kewajipan bagi mereka untuk mensyukurinya, dan sebagai menzahirkan kesyukuran tersebut bahawa dilakukan ibadah puasa bertujuan memperingati peristiwa (yang agung itu).

Sedangkan , semua ini tiadalah padanya sebarang dalil yang menshara‘kan puasa. Sesungguhnya AlLāh telah memerintahkan kaum muslimin untuk mengingati pelbagai nikmat yang telah Dia kurniakan kepada mereka seperti firman-Nya kepada mereka bersempena peperangan ’Aḥzāb (yang bermaksud) : “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu semua akan nikmat AlLāh kepada kamu, ketika tentera-tentera datang kepada kamu, lalu Kami hantarkan kepada mereka angin dan tentera-tentera yang kamu tidak dapat melihatnya; Dan adalah AlLāh itu dengan apa-apa yang kamu lakukan, Dia Maha Melihat.” – Al-’Aḥzāb:9. Maka, dalam perkara demikian, tidak pula mereka memperingati peristiwa ini dengan berpuasa pada hari-hari tersebut (yang telah berlaku di bulan Shawwāl menurut pendapat yang ṣaḥīḥ dan masyhur – pent.) ketika mana mereka “tenggelam” dengan sambutan (perayaan) Shawwāl (‘īd-ul-fiṭr) dan sebagainya.

Ibn-ul-Qayyim r.ḥ (meninggal 751H) menyebut perihal malam Isrā’ dan Mi‘rāj di dalam kitabnya Zād-ul-Ma‘ād yang dipetik daripada gurunya Ibnu Taymiyyah r.ḥ (meninggal 728H): “Tidaklah diketahui oleh sesiapa pun di kalangan muslimin bahawa dijadikan satu kelebihan bagi malam Isrā’ berbanding malam-malam selainnya. Dan, tidak juga diketahui daripada para ṣaḥabāt dan tabi‘īn bahawa mereka bertujuan mengkhususkan dan mengingati malam Isrā’ dengan (melakukan) perkara tertentu (padanya). Sebab itulah, tidak diketahui mana-mana malam (diadakan khusus) meskipun (peristiwa) Isrā’ adalah sebahagian daripada kelebihan-kelebihan utama bagi RasūlulLāh Ṣ.‘A.W. Tidak diketahui sebarang dalil mengenai bulannya (berlaku Isrā’ dan Mi‘rāj), tidak juga mengenai sepuluh hari (daripadanya), tidak pengisiannya – bahkan riwayat-riwayat pada demikian itu terputus dan berbeza (antara satu sama lain), tiada satu pun (riwayat) yang qat‘iy dengannya, dan tidaklah dishara‘kan muslimin mengkhususkan malam ini dengan mendirikan (ṣalāt) atau selainnya.”

Dengan itu, malam 27 Rajab bukanlah malam berlakunya Isrā’ dan Mi‘rāj meskipun tarikh ini amat masyhur di kalangan manusia, kerana tiada nas yang ṣaḥīḥ mengenainya.

والله أعلم

*Terjemahan bebas daripada laman sesawang Shaykh Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy – http://qaradawi.net/component/content/article/30/4877.html

Advertisements
Posted in: Fatwa