Merayakan Malam Niṣfu Sha‘bān

Posted on Jun 23, 2012

2


Soalan:

Sejak sekian lama kami merayakan malam niṣfu Sha‘bān dengan menghimpunkan penduduk-penduduk kampung yang terdiri daripada pemuda, pemudi, kanak-kanak dan wanita di masjid untuk mendirikan ṣalāt Maghrib. Ia kemudiannya disusuli dengan bacaan sūrah Yāsīn sebanyak tiga kali di mana setiap kali bacaan akan diiringi doa dengan bentuk-bentuk yang terdapat di dalam Al-Qur’ān-ul-Karīm dan doa untuk Islam dan orang-orang muslim. Sebelum ini, kami membaca doa niṣfu Sha‘bān yang biasa dibacakan secara ramai-ramai dan lantang, kini kami gantikannya dengan doa daripada Al-Qur’ān-ul-Karīm. Maka, apakah pandangan ad-dīn pada merayakan malam niṣfu Sha‘bān dengan cara tersebut?

*Jawapan:

Malam niṣfu Sha‘bān adalah malam yang diberkati dan perihal kelebihannya terdapat di dalam pelbagai ḥadīth yang saling menyokong antara satu sama lain yang mencapai darjat yang baik dan kuat. Maka, tidaklah diragukan lagi bahawa mengambil berat dengannya dan menghidupkannya adalah daripada ad-dīn. Dan, ini setelah mengambil kira apa-apa (riwayat) yang kadang-kadang ḍa‘īf atau mawḍū‘ pada (menyebut) malam berkenaan. Antara ḥadīth-ḥadīth tentang kelebihannya ialah:

Daripada ‘Āishah r.‘a, beliau berkata : “Aku telah kehilangan RasūlulLāh Ṣ.‘A.W (pada) suatu malam, maka aku pun keluar (mencarinya) dan aku temui baginda di Al-Baqī‘, lalu baginda bersabda (mafhūmnya): “Adakah kamu takut bahawa AlLāh dan Rasūl-Nya menzalimi kamu?” Maka, aku berkata : “Wahai RasūlulLāh! Sesungguhnya aku menyangka bahawa engkau mendatangi sebahagian isteri-isterimu (yang lain).” Sabda baginda (mafhūmnya): “Sesungguhnya AlLāh ‘Azza Wa Jalla “turun” ke langit dunia (pada) malam niṣfu Sha‘bān, maka Dia mengampunkan (dosa-dosa) lebih banyak daripada bilangan bulu kambing (Bani) Kalb [1].”

Daripada Mu‘ādh bin Jabal r.‘a daripada Nabīy Ṣ.‘A.W , baginda bersabda (mafhūmnya): “AlLāh melihat kepada semua makhluk-Nya pada malam niṣfu Sha‘bān, maka dia mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang mushrik atau orang yang bermusuh (saling membenci).” – Riwayat Aṭ-Ṭabaranīy , dan diṣaḥiḥkan oleh Ibnu Ḥibbān.

Daripada ‘Alīy bin Abīy Ṭālib r.‘a, daripada Nabīy Ṣ.‘A.W , baginda bersabda (mafhūmnya): “Apabila (datang) malam niṣfu Sha‘bān, maka bangunlah kamu (pada) malamnya dan berpuasalah kamu (pada) siangnya, sesungguhnya AlLāh “turun” padanya ke langit dunia bermula dari terbenam matahari, lalu Dia berfirman (yang bermaksud) : “Ketahuilah olehmu, orang yang memohon keampunan, maka Aku akan ampunkan baginya; ketahuilah olehmu, orang yang meminta rezeki, maka Aku akan berikannya rezeki; ketahuilah olehmu, orang yang ditimpa bala, maka Aku akan sejahterakannya; ketahuilah olehmu begini, ketahuilah olehmu begini, sehingga terbit fajar [2].”

Membaca sūrah Yāsīn sebanyak tiga kali

Tidak mengapa dengan bacaan sūrah Yāsīn secara lantang sebanyak tiga kali mengiringi ṣalāt Maghrib yang dilakukan berjamaah kerana demikian itu termasuk di dalam suruhan menghidupkan malam berkenaan, dan suruhan berzikir adalah luas (terbuka). Dan, (perbuatan) mengkhususkan sebahagian tempat atau masa dengan amalan-amalan ṣāliḥ yang (dilakukan) berterusan adalah perkara yang dibenarkan , selagi orang yang melakukannya tidak menganggapnya sebagai (amalan) wajib yang mendapat dosa jika meninggalkannya. Daripada ‘AbdulLāh bin ‘Umar r.‘a, beliau berkata : “Adalah Nabīy Ṣ.‘A.W datang ke masjid Qubā’ pada setiap (hari) Sabtu (dalam) keadaan berjalan dan menaiki tunggangan [3].” Imām Ibnu Ḥajar Al-‘Asqalanīy r.ḥ (meninggal 852H) menyebut di dalam (kitabnya) Fatḥ-ul-Bārīy : “Di dalam ḥadīth ini , (meskipun) melalui perbezaan jalan-jalan (periwayatannya) menunjukkan keharusan mengkhususkan hari-hari tertentu dengan amalan-amalan ṣāliḥ yang (dilakukan) berterusan.”

Menurut Al-Ḥāfiz Ibnu Rajab Al-Ḥanbalīy r.ḥ (meninggal 795H) di dalam kitabnya, Laṭāif-ul-Ma‘ārif : “Para ‘ulamā’ ahli Shām (daripada tābi‘īn) berbeza pendapat tentang perihal menghidupkannya di mana ia terbahagi kepada dua pendapat:

1. Digalakkan menghidupkannya di masjid-masjid secara berjamaah. Khālid bin Ma‘dān, Luqmān bin ‘Āmir dan selain kedua-duanya memakai pakaian yang elok pada malam tersebut, berwangi-wangian, memakai celak dan mereka menyambutnya di masjid pada malam itu. Dan, Isḥāq Ibn Rāhawiyah menyetujui mereka atas demikian itu di mana beliau berkata perihal mengadakannya di masjid-masjid secara ramai-ramai: “Tidaklah demikian itu bid‘ah.” Ia juga telah dinukilkan oleh Ḥarb-ul-Karmānīy di dalam (kitabnya) Masāil; dan

2. Dimakruhkan berhimpun pada malamnya di masjid-masjid untuk berṣalāt (secara khusus), membacakan kisah-kisah (pengajaran), dan berdoa. Walau bagaimanapun, tidaklah dimakruhkan seorang lelaki berṣalāt secara khusus sendirian. Ini ialah pandangan Al-Awzā‘īy , iaitu imām ahli Shām, seorang faqīh dan yang ‘ālim di kalangan mereka.

Tidak bid‘ah dengan syarat…

Dengan itu, menghidupkan malam niṣfu Sha‘bān atas sifat atau cara yang telah tersebut itu adalah dibenarkan, tidak bid‘ah dan tidak makruh, dengan syarat ianya tidak dijadikan sebagai suatu yang mesti dan wajib. Sekiranya ia dimestikan kepada orang lain dengan menganggap dosa bagi sesiapa yang tidak menyertainya, maka jadilah ia bid‘ah dengan mewajibkan apa-apa yang tidak diwajibkan oleh AlLāh dan Rasūl-Nya Ṣ.‘A.W. Inilah maksud yang dengan sebabnya (menjadikan ia wajib – pent.) tidak disukai oleh sebahagian salaf dalam menghidupkan malam ini secara berjamaah. Maka itu, apabila kewajiban atau kemestian itu tiada, maka ia (menghidupkan malam niṣfu Sha‘bān) tidaklah ditegah.

*Terjemahan bebas daripada fatwa Dār-ul-Iftā’-il-Miṣriyyah – http://dar-alifta.org/ViewMindFatawa.aspx?ID=83&LangID=1

Nota:

[1] Imām At-Tirmidhīy r.ḥ (meninggal 279H), Sunan At-Tirmidhīy, Bāb Mā Jā’a Fī Laylat-in-Niṣfi Min Sha‘bān, nombor 739; Imām Ibnu Mājah r.ḥ (meninggal 273H), Sunan Ibnu Mājah, Kitāb ’Iqāmat-iṣ-ṣalāt Was Sunnati Fīhā, nombor 1389 – terdapat lafaz baginda mendongak kepalanya ke langit selepas lafaz aku temui baginda di Al-Baqī‘; Imām ’Aḥmad r.ḥ (meninggal 241H), Musnad ’Aḥmad, Bāqīy Musnad-il-’Anṣār, nombor 25487

[2] Imām Ibnu Mājah r.ḥ, Sunan Ibnu Mājah, Bāb Mā Jā’a Fī Laylat-in-Niṣfi Min Sha‘bān, nombor 1388

[3] Imām Bukhārīy r.ḥ, Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy, Bāb Ityān Masjidi Qubā’ Māshiyan Wa Rākiban , nombor 1136; Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul- Ḥajj, Bāb Faḍli Masjidi Qubā’ Wa Faḍl-iṣ-ṣalāti Fīhi Wa Ziyāratihi, nombor 1399

Advertisements
Posted in: Fatwa