Wahai Anak Kesayanganku! (Bahagian 7 – Aspek-aspek tarbiyyah di dalam wasiat-wasiat Luqmān)

Posted on Jun 26, 2012

0


3. Bersabar di jalan dakwah kepada AlLāh

Berdakwah ke jalan AlLāh memerlukan kesabaran daripada pendakwah dalam menghadapi rintangan-rintangan musuh-musuh dakwahnya. Demikian itu berlaku kerana manusia adalah “musuh” kejahilan diri sendiri, dan perubahan mereka daripada akidah yang dianut sekian lama – meskipun ianya batil – kepada akidah lain bukanlah suatu yang mudah, sekalipun akidah (lain) itu benar, malah menjadi suatu kepayahan bagi jiwa (untuk menerimanya – pent.).

Maka itu, Luqmān berpesan kepada anaknya supaya bersabar seperti yang telah difirmankan oleh AlLāh Ta‘ālā melalui lidah Luqmān (yang bermaksud) : “dan bersabarlah atas apa-apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu daripada perkara-perkara yang memerlukan keazaman.” – (Luqmān:17), kerana seseorang insan itu apabila dia mendakwahkan manusia kepada menyuruh dengan ma‘rūf dan mencegah daripada kemungkaran , pastilah dia akan ditentang oleh orang-orang yang jahat dan dia akan disakiti walaupun sedikit.

Mengikuti jalan akidah aturan AlLāh

Ash-Shahīd Sayyid Quṭb dalam mentafsirkan ayat ini, beliau berkata : “Dan, ini ialah jalan akidah yang diatur (oleh AlLāh) : mentauhidkan AlLāh, merasai pengawasan-Nya, memandang ke hadapan apa-apa (perintah) di sisi-Nya, mempercayai keadilan-Nya, dan takut kepada balasan seksa-Nya. Kemudian ia berpindah kepada usaha mendakwahkan manusia, membaiki mereka, menyuruh mereka dengan ma‘rūf dan mencegah mereka daripada kemungkaran. Maka itu, bekalan yang perlu ada (bagi pendakwah) sebelum semua yang tersebut itu dalam “pertempuran” dengan kejahatan ialah (memiliki) bekalan yang tulen, iaitu bekalan ibadah kepada AlLāh dan menghadap-Nya dengan ṣalāt. Setelah itu, baharulah dia bersabar dengan apa-apa musibah yang dilalui dengan sebab usaha-usaha dakwahnya kepada AlLāh , iaitu tentangan daripada para penentangnya dan orang-orang yang tergelincir jiwa dan hati mereka. Dan, musibah kesakitan (kadang-kadang) secara lisan atau dengan (kekerasan) tangan, malah pendakwah akan menghadapi ancaman-ancaman kebendaan dan nyawa yang mana semua itu memerlukan “sesungguhnya yang demikian itu daripada perkara-perkara yang memerlukan keazaman” , dan perkara-perkara yang memerlukan keazaman itu bermaksud memutuskan semua jalan keraguan selepas satu keazaman yang kukuh lagi teguh.”

Maksud sabar

Sabar dari segi bahasa bermaksud menyekat dan menahan. Dari segi istilah, ia bermaksud kekuatan kemahuan seseorang dalam mendisiplinkan dirinya untuk menanggung kepayahan, kesulitan dan kesakitan-kesakitan, begitu juga kekuatannya dalam menolak faktor-faktor rasa terganggu, kesedihan, kebimbangan, kejemuan, kegopohan, sambil lewa, kemarahan, kecuaian, ketakutan, ketamakan, dan dorongan nafsu shahwat yang menggoda.

Kesabaran akan memungkinkan insan berasa tenang dan tetap pendirian dalam meletakkan sesuatu pada tempatnya, membuat pertimbangan dan penelitian atas urusan-urusannya dengan kewarasan (dan kebijaksanaan) akal, dan kebolehan melaksanakan sesuatu pada masa yang sesuai dengan jalan dan cara yang bersesuaian lagi bijaksana. Sebaliknya, ketidaksabaran akan mendorong kepada sifat gopoh-gapah dan kelam kabut sehingga ia menjadikan insan meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya. Situasi ini menyebabkannya bersikap sambil lewa dan melakukan kesalahan dalam mencari kesesuaian masa, buruk dari segi jalan pelaksanaan yang akhirnya mengakibatkan kerosakan (usaha dakwah), sedangkan sekiranya dia bersabar sudah tentulah dia terselamat daripada semua itu.

Sebab itulah Luqmān berpesan kepada anaknya supaya bersabar, kerana kesabaran atas segala musibah akan mengekalkan “cahaya” bagi (suatu) perbuatan dan mengekalkan kestabilan (jiwa) bagi seseorang. Maka, kesabaran adalah sebahagian daripada ketinggian adab dan akhlak yang mulia, sifat seorang mu’min dan kualiti (diri) orang-orang yang diberikan khabar gembira dengan pahala yang besar daripada AlLāh ‘Azza Wa Jalla di mana Dia berfirman (yang bermaksud) : “Sesungguhnya akan dikurniakan (kepada) orang-orang yang bersabar akan pahala mereka dengan tidak terkira.” – Az-Zumar:10

Peringkat-peringkat kerja dakwah

Kami telah simpulkan terdahulu bahawa wasiat Luqmān ini, perkara-perkara yang disusun adalah berdasarkan kepentingannya kepada pendakwah, di mana ia dimulai dengan pendidikan jiwa atas ketaatan kepada AlLāh (Wahai anakku, dirikanlah olehmu akan ṣalāt), kemudian dia menyebut (keperluan) berdakwah kepada orang lain (dan suruhlah dengan ma‘rūf dan cegahlah daripada kemungkaran), seterusnya dia menyuruhnya supaya bersabar atas apa-apa yang menimpanya dan kesakitan yang ditanggungnya (dan bersabarlah atas apa-apa yang menimpamu).

Begitulah Luqmān mendidik anaknya di atas manhaj ibadah di mana ibadah di dalam Islam mendidik insan muslim ke arah kesedaran pemikiran yang berterusan, sehinggakan ia menjadikannya insan yang rasional dalam setiap urusan kehidupannya. Manakala, pendekatan yang dipraktikkannya ialah tidak melakukan suatu tindakan kecuali dengan pertimbangan kesedaran dan ketelitian pemikiran. Maka itu, dalam semua keadaan dia secara sedar dan berterusan meletakkan pengawasan AlLāh dalam setiap amalannya.

Sebagai tambahan kepada yang disebut terdahulu, maka sesungguhnya ibadah akan mendidik jiwa insan muslim dengan perasaan kehormatan dan kemuliaan seperti firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Dan, bagi AlLāh kemuliaan dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang mu’min.” – Al-Munāfiqūn:8

Kelebihan pendidikannya (Luqmān) ialah ianya bersifat tetap dan mutlak (tidak terikat) yang mana ia tidak terhenti di mana-mana batasan bumi, kaum atau kepentingan perkauman. Sesungguhnya ia menghasilkan akhlak Islam yang kesesuaiannya merentasi zaman dan tempat. Maka itu, manhaj ketuanan AlLāh yang telah diwahyukan itu bagi tujuan ibadah akan mengikat setiap insan muslim dengan saudara muslimnya yang lain sebagai ikatan yang kukuh teguh, sistematik dan kuat yang terbina di atas perasaan yang benar, mempunyai keyakinan dan jati diri yang agung.

…bersambung

Advertisements
Posted in: 'Ibrah