Puasa Ramadan : Satu Niat Sudah Memadai

Posted on Julai 29, 2012

0


Soalan:

Adakah wajib mengulang-ulang niat puasa Ramadan pada setiap hari ? Atau, memadai satu niat (sahaja) bagi puasa sebulan keseluruhannya?

*Jawapan:

Niat mempunyai kepentingan yang besar dalam Islam. Maka, ia menentukan matlamat dan tujuan seseorang insan dalam pelbagai perkara. Sebab itulah RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya): “Sesungguhnya perbuatan-perbuatan itu (disertai) dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa-apa (yang) dia niatkan. Maka sesiapa (yang) penghijrahannya kepada AlLāh dan Rasūl-Nya, maka penghijrahannya (itu) kepada AlLāh dan Rasūl-Nya. Dan, sesiapa (yang) penghijrahannya kerana dunia bagi mendapatkan habuannya, atau kerana perempuan (yang) ingin dinikahinya, maka penghijrahannya itu (adalah) kepada apa-apa (yang) dia berhijrah kepadanya [1].”

Berhubung dengan niat puasa ini, RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya) : “Sesiapa yang tidak mempunyai tujuan puasa sebelum fajar, maka tiadalah puasa baginya [2].” Mempunyai tujuan di sini ialah mempunyai keputusan dan keazaman (untuk berpuasa).

Perbezaan pendapat mengenai niat

Dan, niat tempatnya (di) hati, dan tidaklah disyaratkan sebutan padanya dengan lisan. Fuqahā’ berbeza pendapat mengenai niat puasa, iaitu sama ada ianya rukun atau syarat.

Niat wajib diperbaharui setiap malam

Sebahagian imam berpendapat bahawa niat itu wajib diperbaharui setiap hari puasa Ramadan, dan mesti diniatkannya di malam hari (sehingga) sebelum (terbit) fajar, dan seseorang yang berpuasa hendaklah menentukan (jenis) puasanya sekiranya ia puasa wajib dengan berkata: “Aku berniat puasa esok hari daripada bulan Ramadan.”

Niat boleh dilakukan sehingga sebelum pertengahan siang

Manakala, sebahagian (imam mazhab) yang lain berpendapat bahawa niat adalah memadai jika seseorang mengetahui dengan hatinya bahawa dia akan berpuasa keesokan harinya. Bagi kelompok ini, niat boleh dilakukan (bermula) daripada terbenamnya matahari hingga sebelum pertengahan siang. Sebab itu, jika dia terlupa berniat di malam hari dia bolehlah berniat sebelum pertengahan siang di mana baki (waktu) siang itu lebih banyak daripada (waktu malam) yang telah berlalu.

Satu niat sudah memadai

Menurut mazhab Mālikīy pula, memadai satu niat pada setiap puasa yang berturut-turut seperti puasa Ramadan.

Daripada (pandangan) ini, kami (Majlis Fatwa Dār-ul-Iftā’-il-Miṣriyyah) berpendapat apabila seseorang insan itu mampu melakukan niat pada setiap malam sepanjang Ramadan, maka inilah yang asal dan utama. Tetapi, sekiranya dia bimbang kemungkinan terlupa , maka hendaklah dia berniat di awal Ramadan bahawa dia akan berpuasa – dengan kehendak AlLāh Ta‘ālā – (di) bulan Ramadan sekarang kerana AlLāh.

Niat menurut pandangan ‘ulamā’ mazhab Ḥanafīy

‘Ulamā’ mazhab Ḥanafīy tidak mensyaratkan niat pada puasa Ramadan kerana ianya merupakan puasa fardu. Maka, selagi mana seseorang menunaikan puasa dengan menahankan (dirinya) daripada makan dan minum, puasanya adalah sah.

Nota:

[1] Imām Bukhārīy r.ḥ (meninggal 256H), Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy, Kitāb Bad’-il-Waḥy, nombor 1

[2] Diriwayatkan oleh Al-Arba‘ah

*Terjemahan fatwa Majlis Fatwa Dār-ul-Iftā’-il-Miṣriyyah http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=1203&LangID=1&MuftiType=0

Advertisements
Posted in: Fatwa