Hukum Solat Jumaat Apabila Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

Posted on Julai 14, 2013

1


Soalan:

Adakah gugur (kewajipan) solat Jumaat apabila hari raya berlaku pada hari Jumaat, dan memadai dengan solat hari raya (sahaja) dari solat Jumaat?  Dan, adakah gugur (kewajipan) solat zuhur apabila berlaku hari raya pada hari Jumaat? Dan, adakah gugur (kewajipan) solat zuhur pada hari raya setakat memadai dengan solat hari raya? كتاب-الجمعة

*Jawapan:

Persoalan mengenai berlakunya hari raya dan Jumaat pada hari yang sama, dan adakah gugur kewajipan (menunaikan) solat Jumaat ketika itu, maka ianya adalah perkara khilafiah di kalangan ulama disebabkan perbezaan mereka dalam menentukan kesahihan hadis-hadis dan athar yang dijadikan hujah dan (perbezaan) pemahaman mereka ke atas (mafhum) hadis berkenaan.

Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai’, Ibnu Majah, dan Al-Hakim daripada Iyas bin Abi Ramlah Ash-Shami, beliau berkata : “Aku telah melihat Mu‘awiyah bin Abi Sufian bertanyakan Zaid bin Arqam r.a : “Adakah kamu pernah menyaksikan dua hari raya berkumpul pada satu hari yang sama (ketika kamu) bersama Rasulullah S.A.W?” Beliau (Zaid bin Arqam r.a) menjawab: “Ya!” Beliau (Mu‘awiyah bin Abi Sufian) bertanya (lagi) : “Bagaimana baginda melakukan(nya)?” Jawab beliau : “Baginda (S.A.W) melakukan solat hari raya, kemudian baginda telah meringankan (kewajipan) solat Jumaat, lalu baginda (S.A.W) bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang mahu bersolat (Jumaat), maka hendaklah dia bersolat.”Daripada Abi Hurairah r.a, daripada Rasulullah S.A.W, baginda telah bersabda (mafhumnya): “Telah terhimpun pada hari kamu ini dua hari raya, maka sesiapa mahu, dia tidak perlu (menunaikan) solat Jumaat, sedangkan kami (tetap mahu) solat Jumaat.”

Solat Hari Raya Tidak Menggugurkan Kewajipan Solat Jumaat

Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat bahawa menunaikan solat hari raya tidaklah memberikan keringanan hingga gugurnya solat Jumaat di mana mereka (sebahagian ulama) berhujah dalil kewajipan solat Jumaat adalah umum bagi setiap hari (termasuk hari raya – pent.). Dan, kedua-duanya (solat hari raya dan solat Jumaat) adalah syiar yang berdiri sendiri, dan tidaklah bersifat “boleh mengganti antara satu sama lain.” Manakala, pelbagai dalil daripada hadis dan athar tidaklah kuat (menyokong) pengkhususannya (bahawa solat Jumaat itu boleh diberikan keringanan untuk tidak menunaikannya dalam persoalan seperti ini – pent.), kerana terdapat percanggahan pada sanadnya, dan inilah pandangan mazhab Hanafi dan Maliki.

Gugur Solat Jumaat, Wajib Ganti Dengan Solat Zuhur

Imam Ahmad r.h berpendapat – sebagaimana salah satu pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h – gugur kewajipan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah melaksanakan solat hari raya, tetapi mereka diwajibkan solat Zuhur ketika itu berdasarkan hadith-hadith dan athar terdahulu (juga).

Keringanan Bagi Penduduk Di Pedalaman

Jumhur ulama – antaranya juga pandangan Imam Ash-Shafi‘i r.h yang paling sahih – berpendapat kewajipan Jumaat (hanya) ke atas penduduk bandar (sahaja) dan gugur kewajipannya ke atas penduduk pedalaman yang cukup syarat-syarat wajibnya, kerana mewajibkan solat Jumaat berserta solat hari raya kepada mereka (penduduk pedalaman) akan memberikan kesukaran dan kesulitan.Mereka berhujah dengan satu riwayat daripada Imam Malik di dalam Al-Muwatta’ bahawa ‘Uthman bin ‘Affan r.a telah berkata di dalam khutbahnya : “Sesungguhnya telah berkumpul pada kamu hari ini dua hari raya, maka sesiapa daripada penduduk Al-‘Aliyah (iaitu suatu tempat yang jaraknya kira-kira tiga batu daripada Madinah Al-Munawwarah) yang ingin menunggu (solat) Jumaat, maka hendaklah dia menunggunya, tetapi sesiapa yang mahu pulang, maka sesungguhnya aku izinkan baginya.”

Dan, perkara ini tidak diingkari oleh seorang sahabat pun, lalu jadilah ia ijma’ sukuti. Berpandukan hadis-hadis seperti inilah, para ulama memahami hadis yang memberikan keringanan meninggalkan solat Jumaat bagi sesiapa yang telah mendirikan solat hari raya.

Permasalahan ini sifatnya khilafiah

Maka itu, permasalahan dalam perkara ini adalah luas selagi mana masalah tersebut bersifat khilafiah. Oleh yang demikian, permasalahan ini bukanlah bermaksud (wujudnya) pertentangan antara satu (mazhab atau ulama) dengan selainnya. Jadi, didirikan solat Jumaat di masjid-masjid berasaskan dengan asal (dalil) dan lebih berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin hadir solat Jumaat atau mahu mengambil keringanan (tidak hadir solat Jumaat) kerana mengikuti pandangan mereka (ulama) yang menggugurkan kewajipannya dengan (sebab) telah menunaikan solat hari raya, maka dia boleh berbuat demikian, dengan syarat dia bersolat Zuhur sebagai ganti tanpa mengkritik (atau menyanggah) orang yang hadir solat Jumaat atau sesiapa yang mendirikannya (solat Jumaat) di masjid-masjid atau mencetuskan fitnah (disebabkan sikap menyanggah atau mengkritik – pent.) dalam perkara yang terdapat keluasan perbezaan (pendapat)  para (ahli) salaf padanya.

Wajib Menggantikan Solat Jumaat Dengan Zuhur

Berhubung gugur solat Zuhur yang (dikira) memadai dengan solat hari raya, maka jumhur ulama salaf dan khalaf berpendapat : “Bahawa gugur (kewajipan) solat Jumaat dengan sebab rukhsah atau sakit atau terluputnya waktu, maka wajiblah menggantikannya dengan solat Zuhur.”

Gugur kewajipan Solat Jumaat Dan Zuhur Sekaligus

(Manakala) riwayat daripada ‘Ata’ pula, bahawa solat Jumaat dan Zuhur gugur (kewajipannya) bersama-sama dengan (sebab) solat hari raya. Dalilnya ialah (hadis) riwayat Abu Daud, beliau berkata : “Ibnu Zubair r.a telah solat hari raya bersama-sama kami di awal (pagi) siang hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan solat Jumaat, tetapi beliau tidak keluar bersama kami (menunaikan solat Jumaat – pent.). Lalu, kami bersolat sendiri-sendiri. Dan, Ibnu ‘Abbas r.a (ketika itu) berada di Ta’if, sebaik sahaja beliau tiba, kami pun memberitahunya (tentang hal ini). Maka, beliau berkata: “Beliau (Ibnu Zubair r.a) telah menepati sunnah.”

Kewajipan Solat Jumaat Tidak Gugur, Sebaliknya Solat Hari Raya Gugur

Dan, ini (hadis riwayat Abu Daud – pent.) tidak sesuai dijadikan dalil kerana (kemungkinan) terdapat pelbagai jalan andaian mengenainya (hadis), sedangkan apa-apa yang terdapat pelbagai jalan andaian, batallah pengambilan dalil daripadanya. Dalam persoalan ini, tiadalah dalil yang menunjukkannya (Ibnu Zubair r.a) tidak melakukan solat Zuhur di rumahnya. Bahkan, dalam riwayat ‘Ata’ (tersebut) bahawa mereka bersolat Zuhur sendiri-sendiri bukanlah indikator yang boleh diterima sebagai gugurnya (kewajipan) solat Zuhur. Pandangan ini mungkin boleh diandaikan sebagai mazhab yang membolehkan solat Jumaat sebelum tergelincirnya matahari, iaitu pendapat yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.h bahkan daripada ‘Ata’ sendiri di mana beliau berkata : “Setiap (solat) hari raya (dilaksanakan) ketika masuknya waktu Duha (iaitu): (solat) Jumaat, (solat) hari raya adha, (dan solat) hari raya fitrah.” Panduan ini dikuatkan oleh riwayat Wahab bin Kaisan daripada An-Nasai’ yang mana beliau berkata : “Telah berkumpul dua hari raya pada zaman Ibnu Zubair, lalu beliau lewat keluar rumah sehingga hari siang meninggi, seterusnya beliau keluar menyampaikan khutbah, maka beliau memanjangkan khutbah. Apabila selesai khutbahnya, beliau pun mendirikan solat dan beliau tidak (mendirikan) solat Jumaat bersama orang ramai.” Sedangkan, seperti yang sudah termaklum bahawa khutbah Jumaat adalah sebelumnya (solat Jumaat), manakala khutbah solat hari raya (pula) adalah selepasnya, bukan sebelumnya (solat hari raya).”

Sebab itulah, Abu Al-Barakat Ibnu Taimiyyah r.h berkata : “Aku berpendapat bahawa beliau (Ibnu Zubair r.a) berpandangan bolehnya mendahulukan solat Jumaat sebelum tergelincir matahari, lalu beliau mendahulukannya (solat Jumaat), dan beliau menjadikannya sebagai pengganti solat hari raya.”

Bilangan Solat Fardu Tidak Pernah Gugur

Begitu juga tidak pernah syarak menjadikan solat-solat fardu itu (didirikan) empat kali (sahaja) dalam apa-apa keadaan meskipun dalam kesakitan yang bersangatan atau dalam peperangan yang sengit. Sebaliknya, (kewajipan) solat tetap lima kali pada setiap keadaan seperti yang ditunjukkan oleh nas-nas yang qat‘i daripada sabda Rasulullah S.A.W kepada orang Arab Badwi mengenai bilangan fardu-fardu di dalam Islam (mafhumnya): “Lima solat sehari semalam.” – muttafaq ‘alayh daripada hadis Talhah bin ‘Ubaidillah r.a. Dan, sabda Rasulullah S.A.W kepada Mu‘az bin Jabal r.a ketika baginda mengutuskan beliau ke Yaman (mafhumnya) : “Maka, hendaklah kamu beritahu mereka bahawa Allah ‘Azza Wa Jalla telah memfardukan mereka (melaksanakan) lima kali solat sehari semalam.” – muttafaq ‘alayh daripada hadis Ibnu ‘Abbas r.a. Sabda Rasulullah S.A.W (mafhumnya) : “Lima solat (sehari semalam) yang diwajibkannya oleh Allah ke atas hamba-hamba-Nya.” – diriwayatkan oleh Imam Malik r.h di dalam Al-Muwatta’, Abu Daud, dan An-Nasai’ daripada hadis ‘Ubadah bin As-Samit r.a. Begitulah seterusnya daripada pelbagai nas (tentang kewajipan solat fardu lima kali sehari semalam – pent.)

Persoalannya?

Apabila solat fardu tidak gugur dengan (sebab) melaksanakan solat fardu (lain) seumpamanya, maka bagaimanakah ia (solat fardu) gugur dengan (hanya) menunaikan solat hari raya yang bertaraf fardu kifayah dalam konteks (hukumnya ke atas) masyarakat, dan sunnah sahaja dalam konteks individu?

Sesungguhnya syarak yang mulia telah mewajibkan solat lima waktu ini atas zatnya (masing-masing) sekalipun (berlakunya) perbezaan zaman, tempat, individu dan keadaan melainkan yang dikecualikan syarak seperti perempuan yang didatangi haid dan nifas. Sehinggakan Nabi S.A.W ketika baginda mengkhabarkan tempoh masa Dajjal menetap di bumi, baginda bersabda (mafhumnya): “Empat puluh hari : sehari seperti setahun, dan sehari seperti sebulan, dan sehari seperti (satu) Jumaat, dan selebihnya seperti hari-hari kamu (sekarang).” Lalu, sahabat r.a bertanya baginda: “Wahai Rasulullah! Pada hari yang seperti setahun itu, adakah memadai bagi kami solat sehari (semalam seperti sekarang)?” Sabda baginda (mafhumnya): “Tidak! Tetapi, kamu hitungkanlah kepantasannya (masa) itu.” – riwayat Imam Muslim r.h.

Kesimpulan

Dan, ini antara nas yang menunjukkan tidak gugurnya mana-mana solat fardu yang telah ditetapkan kewajipannya itu (oleh Allah S.W.T) dalam apa-apa keadaan dan masa sekalipun. Oleh hal yang demikian, pendapat yang mengatakan gugurnya solat Jumaat dan Zuhur dengan sebab solat hari raya merupakan pendapat yang tidak seimbang (lagi rapuh) kerana lemahnya dalil dari satu aspek, dan tiada kepastian nisbah kepada (ulama) yang mengeluarkan pendapat tersebut dari aspek yang lain.

 

WalLahua‘lam.

* Terjemahan bebas daripada laman sesawang Dār-ul-Iftā’ Miṣriyyah http://www.dar-alifta.org/viewfatwa.aspx?id=1401&mu&Home=1&LangID=1 –Fatwa Mufti Besar Republik Arab Mesir, Profesor Dr. ‘Alīy Jum‘ah Muḥammad

Advertisements
Tagged: , ,
Posted in: Fatwa, Solat