Hukum-Hukum Berkaitan Anjing

Posted on Januari 8, 2017

0


Soalan:

Adakah anjing itu najis? Adakah harus menjualnya? Apakah hukum memeliharanya di rumah?

Jawapan:

Anjing ialah sejenis haiwan yang menyalak. Apa-apa sahaja jenis haiwan yang menyalak, sama ada besar atau kecil dipanggil sebagai anjing, sekalipun salakannya lemah (tidak kuat). Manakala, haiwan yang tidak menyalak meskipun ia seakan-akan anjing seperti serigala dan musang, maka ia bukanlah anjing. Justeru, haiwan kategori tersebut (serigala dan musang atau seumpamanya – pent.) hukum-hukum mengenainya adalah tidak sama dengan anjing.

Berikut ini ialah penjelasan berhubung hukum-hukum berkaitan anjing dari aspek sama ada ia suci atau najis, pemeliharaan, dan penjualannya.

Pertama: Kesucian dan Kenajisan Anjing

Anjing adalah najis ‘ain di sisi mazhab Shafi’i dan Hanbali, tetapi ia adalah suci di sisi mazhab Hanafi melainkan air liurnya, air kencingnya, peluhnya, dan semua perkara yang basah daripadanya, maka semua itu adalah najis.

Namun begitu, di sisi mazhab Maliki, ia adalah suci termasuklah semua perkara yang basah daripadanya. Imam Ad-Dardir r.h (meninggal 1201H) berkata seperti di dalam kitab Ash-Sharh-us-Saghir Ma’a Hashiyat-is-Sawi ‘Alaihi (85/1): “Apabila anjing menjilat bejana (bekas air) sekali atau banyak kali, disunatkan membuang air tersebut, dan disunatkan membasuh bekas minuman tersebut tujuh kali sebagai ibadah kerana anjing itu suci.”

Keluar Daripada Khilaf

Dalam hubungan ini, pendirian yang terbaik ialah keluar daripada khilaf dengan mengikut pandangan kumpulan mazhab yang pertama (Shafi’i dan Hanbali) di mana mereka berpendapat anjing itu najis. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu mendapati wujudnya kesukaran dan kepayahan untuk berpegang dengan pandangan ini, dia boleh berpegang dengan pendapat kelompok yang tidak mengatakan anjing itu najis ‘ain seperti pandangan mazhab Hanafi dan Maliki.

Kedua: Membersihkan Bekas Air Yang Dijilat Oleh Anjing

Mazhab Shafi’i dan Hanbali berpendapat wajib membasuh bekas air yang dijilat oleh anjing sebanyak tujuh kali dengan salah satunya (basuhan) daripada tanah. Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: “Rasulullah S.A.W telah bersabda (mafhumnya), “Bersihkanlah bekas air kamu yang telah dijilat oleh anjing, iaitu dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya dengan tanah.” – hadis riwayat Imam Muslim r.h di dalam sahihnya.

Yang disunatkan ialah menggunakan tanah pada basuhan pertama kerana keselariannya dengan lafaz khabar (di dalam hadis), atau dalam erti kata lain menggunakan air sebagai basuhan selepas menggunakan tanah, lalu ia membersihkannya. Justeru, apabila bekas air itu (salah satu basuhannya) dibasuh dengan tanah, maka ia adalah memadai. Di samping itu, terdapat di dalam riwayat lain berhubung penggunaan tanah pada salah satu daripada tujuh basuhan tanpa mengkhususkan kepada basuhan yang ke berapa.

Menurut mazhab Hanafi, basuhan yang wajib hanya tiga kali tanpa tanah. Mazhab Maliki berpendapat disunatkan (sahaja) membasuh bekas air (yang dijilat anjing – pent.) sebanyak tujuh kali tanpa perlu menggunakan tanah.

Sesiapa yang berpendapat mudah beramal dengan pandangan mazhab Shafi’i dan Hanbali, iaitu melakukan basuhan sebanyak tujuh kali dengan salah satu daripadanya tanah, maka berpegang kepada pandangan kedua-dua mazhab tersebut adalah yang terbaik kerana ia keluar daripada khilaf (dan pandangan kedua-dua mazhab ini lebih dekat dengan mafhum hadis – pent.). Jika seseorang itu sukar beramal dengan pandangan mazhab Shafi’i dan Hanbali, haruslah baginya untuk melakukan basuhan bekas air yang dijilat anjing itu sebanyak tiga kali tanpa menggunakan tanah (sebagai salah satu basuhan) seperti yang dipegang oleh mazhab Hanafi.

Ketiga: Pemeliharaan anjing

Fuqaha’ telah sepakat bahawa tidak harus memelihara anjing kecuali atas sebab keperluan seperti perburuan, menjaga keselamatan, mengembala ternakan, perladangan, membantu orang buta, dan seumpamanya yang boleh diambil manfaat daripadanya (memelihara anjing) yang mana semua itu tidaklah ditegah oleh syarak. Justeru, adalah harus memelihara anjing yang masih kecil untuk tujuan mengajarnya berburu (bagi kegunaan di masa akan datang apabila ia besar – pent.), atau tujuan-tujuan lain seperti yang tersebut di atas. Maka, tidaklah pula harus memeliharanya untuk tujuan mengambil manfaat selain yang dinyatakan itu.

Keempat : Penjualan Anjing

Mazhab Shafi’i, Hanbali, dan Maliki berpendapat tidak boleh menjual anjing. Ini adalah berdasarkan tegahan Nabi S.A.W dari menerima harga anjing seperti yang terdapat di dalam sahih Muslim. Mazhab Hanafi pula berpendapat boleh menjual anjing secara mutlak kerana hakikatnya ia adalah harta yang boleh diambil manfaat daripadanya. Begitulah juga pendapat yang dipegang oleh Ibnu Nafi’, Ibnu Kinanah, dan Sahnun daripada mazhab Maliki yang membolehkan jualan anjing yang dibenarkan oleh syarak untuk memeliharanya seperti memelihara anjing untuk tujuan mengembala ternakan dan perburuan.

Pandangan Sebahagian Ulama Mazhab Maliki

Al-Kasani menyebut di dalam kitab Bada’-is-Sanai’ (1422/5) : “Harus menjual burung yang berkuku tajam sama ada dia mengetahui atau pun tidak, tanpa khilaf. Manakala, penjualan haiwan-haiwan yang bertaring yang terdiri daripada haiwan pemangsa melainkan babi, seperti anjing, harimau bintang, singa, harimau, serigala, kucing dan seumpamanya, maka ia adalah harus (penjulannya) di sisi (pandangan) sahabat-sahabat kami.”

Ibnu Rushd Al-Maliki menyebut di dalam Al-Bayan Wa-t-Tahsil (288/17): “Dan, pada sabda Rasulullah S.A.W di dalam hadis (mafhumnya) : “Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing untuk berburu dan menjaga haiwan ternakan…” merupakan dalil keharusan memelihara anjing untuk berburu dan menjaga haiwan ternakan. Justeru, untuk memelihara anjing sudah tentulah ia melalui proses pembelian (daripada sesiapa yang mahu menjualnya – pent.). Di dalamnya (hadis tersebut) juga adalah dalil bolehnya penjualan anjing untuk menjaga haiwan ternakan dan perburuan. Inilah pandangan Ibnu Nafi’, Ibnu Kinanah, Sahnun, dan kebanyakan ahli ilmu. Dalam hubungan ini, pandangan tersebut adalah sahih kerana apabila harus mengambil manfaat daripadanya, haruslah pula penjualannya. Bagi haiwan yang tidak halal (manusia) memakannya seperti kaldai peliharaan, harus pula ia dijual kerana harus mengambil manfaat daripadanya (kaldai). Hadis di atas adalah dalil keharusan penjualannya (haiwan yang haram dimakan, tetapi boleh diambil manfaat daripadanya – pent.).

Imam Malik r.h Melarang Penjualan Anjing

Walau bagaimanapun, pandangan ini tidaklah dipersetujui oleh Ibnu-l-Qasim dengan riwayat daripada Imam Malik r.h yang berpendapat tidak boleh penjualan anjing untuk menjaga ternakan atau perburuan sepertimana tidak harus (juga) menjual selainnya (sebab-sebab tersebut) daripada anjing kerana (wujudnya) larangan Rasulullah S.A.W tentang harga anjing secara umum.

Beramal Dengan Pandangan Jumhur Adalah Yang Terbaik

Seperti yang telah dijelaskan terdahulu, sewajarnya seseorang Muslim beramal dengan apa-apa (pandangan) yang telah dipersetujui oleh jumhur kerana kekuatan pandangan (hujah) mereka dan keluar daripada khilaf. Justeru, sikap ini hendaklah dipegang sekiranya ia tidak memberikan kesusahan dan kesulitan kepadanya (untuk beramal mengikut pandangan jumhur – pent.). Walau bagaimanapun, jika dia mendapati wujudnya kesulitan berhubung perkara ini dan berhajat untuk menjualnya, maka (pada ketika itu) haruslah dia mengikuti pandangan Hanafi atau sebahagian ulama Maliki. Sesungguhnya (bukanlah satu kesalahan dari segi syarak – pent.) sesiapa yang mendapati wujudnya kesulitan dalam sesuatu perkara, haruslah baginya mengikuti (pandangan) ulama (atau mazhab) yang mengharuskannya.

* Terjemahan bebas daripada facebook rasmi Dār-ul-Iftā’ Miṣriyyah https://ar-ar.facebook.com/Egypt.DarAlIfta/posts/1027518920611223

Advertisements
Tagged: , ,
Posted in: Fatwa