Hukum Orang-Orang Islam Merayakan dan Mengucapkan Tahniah Sempena Tahun Baru Masehi

Posted on Februari 1, 2017

0


Soalan:

Bolehkah orang-orang Islam bersama-sama orang-orang Kristian merayakan tahun baru dan mengucapkan tahniah kepada mereka?

Jawapan:

Orang-orang Islam beriman dengan para Nabi Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak membezakan antara seorang Rasul dengan yang lainnya serta mereka turut bergembira dengan hari-hari kelahiran mereka (para Nabi dan Rasul). Mereka merayakannya sebagai tanda rasa syukur kepada Allah S.W.T atas nikmat perutusan mereka (para Nabi dan Rasul) yang menjadi (sebab) hidayah, cahaya dan rahmat bagi manusia. Sesungguhnya perutusan Rasul-rasul adalah sebesar-besar nikmat Allah Ta’ala kepada manusia. Dan, hari-hari para Nabi dan Rasul diputerakan adalah hari-hari yang membawa kesejahteraan kepada seluruh alam.

Perihal ini telah diisyaratkan oleh Allah Ta’ala melalui firman-Nya mengenai Yahya a.s (yang bermaksud) : “Dan sejahtera kepadanya pada hari dia diputerakan dan pada hari dia wafat serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula.” – (Maryam:15). Dia berfirman pula mengenai ‘Isa a.s (yang bermaksud): “Dan kesejahteraan kepadaku pada hari aku diputerakan, dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula.” – (Maryam:33). Firman Allah Ta’ala (yang bermaksud): “Salam sejahtera kepada Nabi Nuh di kalangan penduduk seluruh alam!” – (As-Saffat:79), “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” – (As-Saffat:109), “Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!” – (As-Saffat:120) hingga kepada firman Allah Ta’ala (yang bermaksud) : “Dan ucaplah salam sejahtera kepada sekalian Rasul; Dan segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.” – (As-Saffat:181-182).

Mendekatkan Diri Dengan Allah

Jika perihal mereka (orang-orang Islam) seperti yang tersebut di atas, iaitu bertujuan menzahirkan kegembiraan, mensyukuri Allah Ta’ala kerana perutusan mereka (para Nabi dan Rasul), perayaan dan sambutan sebegini adalah dibenarkan. Bahkan, ianya dikira sebagai salah satu cara mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala yang ditunjukkan (oleh orang-orang Islam) melalui rasa seronok dan syukur atas nikmat-Nya. Dan, sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W telah merayakan hari kejayaan Nabi Musa a.s melepaskan diri baginda daripada kezaliman Fir’aun dengan berpuasa. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.h daripada Ibnu ‘Abbas r.a: “Bahawa Nabi S.A.W ketika baginda tiba di Madinah Al-Munawwarah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa satu hari, iaitu (hari) ‘Asyura (10 Muharam). Lalu orang-orang Yahudi berkata : “Hari ini adalah hari yang agung, hari di mana Allah Ta’ala melepaskan Musa a.s (dan pengikutnya) dan Dia menenggelamkan Fir’aun, maka Musa a.s berpuasa sebagai tanda syukur kepada-Nya. Rasulullah S.A.W kemudiannya bersabda (mafhumnya): “Aku lebih berhak terhadap Musa a.s berbanding mereka.” Baginda S.A.W berpuasa (pada ‘Asyura) dan menyuruh (umatnya) berpuasa.

Perayaan Bukanlah Persoalan Akidah?

Perbuatan baginda S.A.W yang turut berpuasa atas sebab merayakan kejayaan Musa a.s tidaklah boleh dianggap sebagai menyerupai akidah orang-orang Yahudi yang (sememangnya) bertentangan dengan akidah Islam.

Justeru, berdasarkan kepada peristiwa ini (dan nas yang berkaitan), maka sambutan orang-orang Islam dengan kelahiran Isa a.s adalah termasuk dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak dan ia tidaklah haram (hukumnya) kerana sambutan tersebut bertujuan melahirkan rasa gembira (dengan kelahiran Isa Al-Masih a.s – pent.) sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda (mafhumnya) : “Aku adalah manusia yang lebih berhak (dan lebih utama) terhadap Isa bin Maryam a.s di dunia dan di Akhirat, tiada antaraku dan dia Nabi yang lain.” – (hadis) riwayat Imam Bukhari r.h.

Mengucapkan Tahniah Adalah Digalakkan

Manakala, perbuatan orang-orang Islam mengucapkan tahniah kepada orang-orang bukan Islam sama ada sempena perayaan-perayaan tersebut atau selainnya, maka ia tidaklah ditegah oleh syarak, lebih-lebih lagi jika antara mereka telah wujudnya hubungan silaturahim, kaum kerabat, jiran, rakan taulan, dan lain-lain yang mempunyai hubungan kemanusiaan. Begitu juga, orang-orang bukan Islam turut memberikan ucapan tahniah kepada orang-orang Islam ketika perayaan mereka (orang-orang Islam). Firman Allah Ta’ala : Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).” – (An-Nisa’:86).

Prinsip Kebaikan dan Keadilan Dalam Islam

Adalah jelas bahawa demikian itu bukanlah bermaksud turut mengakui apa-apa perkara berkaitan akidah mereka yang bertentangan dengan akidah Islam. Bahkan, ia adalah sebahagian daripada hal kebaikan dan keadilan yang disukai Allah Ta’ala. Firman-Nya (yang bermaksud): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” – (Al-Mumtahanah:8)

Ayat itu mengakui prinsip menjalani kehidupan bersama-sama (dengan masyarakat bukan Islam), menjelaskan hubungan dengan orang-orang bukan Islam, menjalinkan hubungan dengan mereka dan melakukan kebaikan, memberikan hadiah kepada mereka dan menerima hadiah daripada mereka, dan berbuat ihsan kepada mereka. Semua ini adalah perkara yang digalakkan oleh syarak. Imam Al-Qurtubi r.h di dalam (kitabnya) ‘Ahkam-ul-Qur’an menyebut : “(أَنْ تَبَرُّوهُمْ) bermaksud Allah tidak menegah mereka dari berbuat baik terhadap orang-orang (bukan Islam) yang tidak memerangi mereka; (وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ) bermaksud memberikan mereka sebahagian daripada harta kamu terutamanya untuk menjaga hubungan silaturahim.”

* Terjemahan bebas daripada laman sesawang Dār-ul-Iftā’ Miṣriyyah http://www.dar-alifta.org/AR/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa&ID=13268

Advertisements
Posted in: Fatwa